Tuesday 11 December 2012

Apa Itu Taqwa...



Apa Itu Taqwa????

"Taqwa ialah ketundukan dan ketaatan terhadap perintah Allah dan menjauhi segala apa yang dilarangNya."

Menurut Imam al-Ghazali rahimahullah, kalimah taqwa yang terdapat di dalam al-Quran membawa tiga makna.

Pertama : Takut, gerun atau ngeri ( haybah ). Antara firman Allah S.W.T yang tersisip kalimah taqwa yang membawa maksud ini ialah : Dan bertaqwalah (takutilah) suatu hari yang kamu akan dikembalikan kepada Allah. (2:281)

Kedua : Taat. Contoh firman Allah S.W.T yang bermaksud : Hai sekalian orang yang beriman, bertaqwalah (taatlah) kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa (taat). (3:102)

Ketiga : Sucikan hati dari dosa. Contoh firman Allah S.W.T yang bermaksud : Dan sesiapa taat kepada Allah dan Rasulnya, takut kepada Allah dan bertaqwa kepadaNya, maka mereka itulah orang-orang yang beroleh kemenangan. ( 24:52)

Kalimah bertaqwa dalam ayat terakhir di atas bukan lagi bermakna taat atau takut, kerana kalimah-kalimah "taat" dan "takut" telah di sebut sebelumnya. Jadi, "bertaqwa" dalam ayat di atas bermaksud menyucikan hati daripada dosa. Makna yang ketiga inilah merupakan takrif kepada istilah taqwa. Menurut para ulama', "Taqwa ialah menucikan hati daripada dosa, sehingga menguatkan azam untuk meninggalkan dosa dan seterusnya memelihara diri daripada segala maksiat".

Imam al-Ghazali membuat kesimpulan bahawa taqwa itu menjauhkan setiap apa yang ditakuti akan membawa mudharat kepada agama. Bandingannya ialah berpantang bagi orang yang ada penyakit. Adapun berpantang daripada lakukan perkara-perkara yang membawa kerosakan kepada agama pula ialah "BERTAQWA".

Pernah Saidina Umar al-Khattab bertanya pada Ubai mengenai taqwa.

"Apa itu taqwa?" tanya Umar pada Ubai.

"Pernahkah kamu menyusuri jalan yang penuh berduri?" balas Ubai dengan satu pertanyaan yang menduga.

"Pernah.." jawab Umar.

"Apa yang kamu lakukan?" tanya Ubai.

"Aku angkat sedikit pakaianku dan melangkah dengan berhati-hati," jawab Umar lagi.

"Itulah taqwa..", jelas Ubai kepada Umar itu mengenai taqwa.


Para sahabat bertanya Saidina Ali tentang taqwa. Beliau memandang wajah sahabat itu lalu berkata, "Taqwa itu ada 4 unsur : "

1- rasa khauf (takut) kepada Allah S.W.T.

2- rasa redha dengan pemberian Allah.
3- mengamalkan sunnah Rasulullah S.A.W dalam kehidupan.
4- bersiap sedia untuk bertemu dengan Allah S.W.T. 


Allah telah berfirman maksudnya: ”Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.” (ali-Imran : 102)



Allah berfirman maksudnya "Yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah yang paling taqwa." (Al-Hujurat : 13)

Awalnya mungkin terasa berat namun apabila ia dihidayahkan Allah S.W.T akan kemanisan iman, saat itu senyuman taqwa dan tawa iman akan terus menemani hari-hari kita. 




No comments:

Post a Comment