Saturday 30 November 2013

Selawat dan kelebihannya. ^^










 اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَامُحَمَّدٍ وَ عَلَى آلِا مُحَمَّدٍ

InsyaAllah, kali ni, saya akan share tentang selawat. Harap bermanfaat. ^^

Selawat ni adalah salah satu cara kita tunjukkan rindu dan cinta kita pada baginda Rasulullah S.A.W. Rasulullah S.A.W. suka kepada sesiapa yang berselawat ke atas nya. Dan Rasulullah sangat galakkan umatnya untuk berselawat ke atasnya bila-bila masa. Selawat ni bukan bermusim. Sebab cinta nabi, bukan cinta bermusim. Malah di katakan, siapa yang tak berselawat pada Rasulullah, dia adalah orang yang tersangat bakhil.

“Orang Bakhil ialah mereka yang apabila disebut nama-Ku mereka tidak berselawat”. [HR: Tirmizi]

Allah sendiri menganjurkan kita semua untuk berselawat ke atas kekasih muliaNya itu. Firman Allah S.W.T :

   
ۚ  إِنَّ اللهَ وَمَلائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ  يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواصَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat (memuji dan berdoa) ke atas Nabi (Muhammad SAW). Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu ke atasnya serta ucapkanlah salam dengan penghormatan.” (Surah al-Ahzab: ayat 56)



Kelebihan Berselawat

“Sesiapa yang mengucapkan selawat kepadaku satu kali, maka Allah akan berselawat baginya sepuluh kali, dan digugurkan sepuluh kesalahan (dosa)nya, serta ditinggikan baginya sepuluh darjat/tingkatan (di syurga kelak).”  [HR An-Nasa’i]

"Barang siapa yang berselawat kepadaku pada waktu pagi sepuluh kali dan pada waktu petang sepuluh kali, ia akan memperolehi syafaatku pada hari kiamat.”
[HR At-Tabrani]

“Barang sesiapa yang berselawat ke atasku sekali nescaya Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh kali.”
[HR. Muslim]

“Sesiapa yang membaca salawat untuk Ku satu kali, Allah bersalawat kepadanya sepuluh kali, dan barangsiapa bersalawat sepuluh kali kepada ku, Allah akan bersalawat kepadanya sebanyak seratus kali.  Dan sesiapa yang bersalawat kepada Ku seratus kali, maka Allah menulis di antara kedua-dua matanya kebebasan dari nifak dan kebebasan dari neraka.  Pada hari kiamat orang itu akan ditempatkan bersama orang-orang yang mati syahid.” [HR At-Tabrani]

Kelebihan berselawat menurut Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani :-

1) Mendapat keampunan Allah serta akan ditutup segala keaiban.
2) Mendapat syafaat daripada Rasulullah SAW.
3) Allah akan menutupi segala dukacita
4) Dikurniakan maqam hampir kepada Rasulullah SAW.
5) Salam sejahtera pada hari kiamat.
6) Mendapat khabar gembira daripada Allah dengan balasan Syurga.

Keburukan Tidak Berselawat

Mereka yang tidak berselawat adalah orang yang paling kedekut dan akan :-

1) Dijauhkan dari rahmat Allah.
2) Mendapat kehinaan yang memalukan.
3) Setiasa mengalami kerugian dan penyesalan.
4) Termasuk kalangan yang mendapat kesusahan.
5) Mengalami kebingungan di hari kiamat.
6) Mengalami kesukaran di Padang Mahsyar.
7) Menjadi ahli neraka.
8) Doa tidak dimakbulkan.

Pesanan Ulama' 

“Semoga Allah memberi kita merasai betapa manisnya mencintai kepada Rasulullah SAW. Bergembiralah pada bulan kelahiran Rasulullah SAW. Perbanyakan selawat dan menyebut akn keperibadian Rasulullah.Semoga Allah memberi kita perasaan kerinduan yang sangat dalam kepada Rasulullah SAW.” - Al-Habib Ali Zainal Abidin.

“Masukkanlah Rasulullah SAW didalam hati kita.” - Ustaz Azhar

"Seorang mukmin yg betul-betul cinta kepada Rasulullah SAW, dia haruslah gembira dgn hadirnya Nabi Muhammad SAW. Ketika lahirnya Rasulullah SAW, serigala dan kambing berdamai dan saling menyebarkan khabar gembira.” - Al-Habib Muhammad Shafiq

“Gelapnya hati orang yang tidak mahu berselawat kepada Nabi Muhammad SAW.” - Habib Kadzim As Saggaf

"Bawalah Rasulullah S.A.W pulang ke rumahmu...dengan mencontohi akhlaknya, mengamalkan sunnahnya, mengkaji sirahnya dan mengenalkan baginda kepada anak-anakmu." - Habib Mahdi Abu Bakar Al-Hamid.

"Umpama sebuah pintu di sebuah rumah, ia hanya dapat dibuka dengan kunci yang betul. Begitu juga dengan pintu hati kita. Mulakanlah dengan berselawat ke atas Rasulullah SAW, kerana selawat itu merupakan kunci untuk membuka pintu hati. Apabila kita berjaya memupuk perasaan cintakan Rasulullah SAW melalui selawat, pasti seterusnya tidak sukar bagi kita untuk melaksanakan sunnah Baginda." - Ustaz Don




Kisah Kelebihan Orang Berselawat

Sufyan As Sauri menceritakan :

Bila bertawaf mengelilingi kaabah, saya melihat seorang laki-laki, ia membaca selawat kepada Rasulullah saw. Saya mendekatinya lalu bertanya: “Mengapa anda meninggalkan bacaan tasbih,tahmid dan tahlil justeru hanya membaca selawat sahaja? Adakah sesautu berlaku kepada diri anda? Siapakah anda ini? Tanya orang itu. Saya Sufyan As Sauri” Jawab saya. Baiklah akan aku ceritakan.” Aku meninggalkan ayahku untuk mengerjakan haji.

Ketika dalam perjalanan, ayahku sakit dan sakitnya itu membawa kematian. Aku bersedih dengan kematiannya. Wajah ayahku yang tampan itu telah bertukar menjadi hitam legam, aku menutup wajahnya dengan kain. Aku berasa sedih sekali, dan malu jika orang mengetahuinya, sedang ayahku adalah seorang ahli ibadah. Aku terus bertafakur dan tertidur. Dalam tidurku aku bermimpi seakan-akan melihat sinar yang semakin mendekati tempatku itu, dan ternyata sinar itu bersumber dari seorang yang sangat gagah lagi tampan. Pakaiannya bersih,wajahnya bersinar terang, baunya harum sekali. Aku tidak pernah melihat orang ini sebelumnya, dan aku belum mengenalinya.

Dia terus menuju kepadaku. Satu-satu langkahnya sehinggalah dia berada disisiku. “Ada apa kesusahanmu?” tanyanya. “Ayahku telah meninggal dunia,” aku menangis. Dan belum sempat aku bercerita seterusnya, dia berkata. “Jangan menangis semua manusia mesti mati.” “Tapi wajahnya” kataku “Wajahnya hitam legam. Tolonglah aku” aku merayu-rayu terus mengharapkan bantuan sesautu. Tanpa berbicara apapun lagi, dia terus membuka kain yang menutup wajah ayahku itu, lalu mengusap telapak tangannya pada wajah ayahku. Ajaib sekali, aku hampir tidak percaya apa yang telah berlaku. Wajah ayahku kembali semula putih bersih, dan lebih bercahaya dari asalnya. Apa penawarnya? Sampai perkara yang cukup ajaib ini dapat berlaku.

Dia kemudian mengambil kain tadi dan menutup semula wajah ayahku itu. Kemudian iapun hendak kembali semula dari arah yang ia dating tadi.

Melihat ia akan pergi, dan aku belum lagi tahu siapa orang ini, maka aku segera memegang bajunya seraya bertanya, siapakah tuan yang telah menolong ayahku ini? Dia tersenyum dan kelihatan nur dan cahaya bersinar dari senyumannya. Wajahnya seperti bulan purnama. “Aku ini Muhammad” jawabnya. “Muhammad siapa”? aku meminta penerangan lagi.

“Muhhamad, Rasulullah. Akulah pembawa Al Quran” jelasnya. Aku terduduk dan terpinga-pinga untuk menikmati wajahnya yang mulia. Inilah dia Rasulullah, aku berkata dalam hatiku, lisanku kelu, tidak berkata apa-apapun.

“Ayahmu ini terlalu banyak membuat sia-sia didalam hidupnya, namun begitu dia selalu membaca selawat dan salam kepadaku. Ketika ia mengalami hal buruk ini, ia memohan kepada ku untuk membantunya, maka aku datang ini untuk membantunya, dan aku selalu menolong orang yang selalu membaca selawat dan salam kepadaku” jelasnya.

Pada saat itulah aku terkejut dari mimpiku itu, dan aku terus teringat apa yang telah berlaku di dalam mimpi itu. Aku terus membuka kain yang menutupi wajah ayahku itu, dan betullah seperti yang berlaku di dalam mimpi tadi, bahawa wajah ayahku telah kembali putih bersih dan bercahaya lebih dari mulanya.


Kisah Orang Yang Tak Pernah Berselawat

Pada satu malam, dia bermimpi bertemu Rasulullah s.a.w. Baginda s.a.w langsung tidak menoleh ke arahnya. Kemudian lelaki itu bertanya, "Wahai Rasulullah, apakah engkau marah padaku?" Rasulullah s.a.w menjawab, "Tidak". Lelaki itu bertanya lagi, "Mengapa engkau tidak menoleh dan memandang kepadaku?" Jawab Rasulullah s.a.w, "Kerana aku tidak mengenalimu." Lalu lelaki itu menambah, "Bagaimana engkau tidak mengenaliku, bukankah aku ini umatmu? Padahal para ulama telah mengatakan bahawa engkau mengenali umatmu lebih daripada ayah ibunya." Rasulullah s.a.w menjawab, "AKU TIDAK MENGENALIMU KERANA ENGKAU TIDAK MAHU MENGINGATIKU DENGAN MEMBACA SELAWAT. PADAHAL AKU KENAL PADA UMATKU ITU BERGANTUNG KEPADA BACAAN SELAWAT MEREKA KEPADAKU."

Kemudian lelaki itu terbangun dari mimpinya. Lalu dia mewajibkan dirinya dengan membaca selawat 100 kali sehari. Maka beberapa hari kemudian pemuda tadi bermimpi bertemu dengan Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w berkata, "Sekarang aku kenal engkau dan aku syafaati engkau."

– Imam al-Ghazali (Mukashafah al-Qulub)

Muhasabah Diri

Cek balik, adakah kita layak untuk mendapat syafaat baginda? Adakah kita layak untuk menjadi umat baginda? Kita mengaku kita ni umat baginda, tapi adakah kita mengamalkan sunnah baginda? Adakah kita ikut apa yang disuruh dan jauhkan daripada apa yang dilarang baginda? Renungkan.

Jika dikumpulkan segala cinta semua umat manusia pada baginda masih tidak boleh melawan cinta baginda pada kita. Betapa besarnya kasih dan sayang baginda pada kita walaupun baginda tak pernah melihat kita.

Kita nak bangkit bersama Rasulullah, rajinkanlah berselawat ke atasnya, amalkan sunnahnya. Tak mampu buat semua, buat setakat yang kita mampu. Kata cinta nabi, tapi tak pernah berselawat. Camane nak bangkit di sisi Rasulullah S.A.W. kalau malas berselawat?

Bak kata Syeikh Nuruddin : “Jangan terkejut bila di Akhirat kelak kamu akan berkumpul dengan artis yg kamu kenali. Dan jika kamu bertanya kenapa, kerana didunia kamu terlalu mencintai mereka.”

Tengok alim ulama'. Tak lekang selawat dan zikr di mulut mereka. Di mana-mana sahaja, wajib mereka berzikir, berselawat. MasyaAllah. Ambik contoh terdekat. Tuan Guru Syeikh Zainul Asri. Beliau selalu pesan pada anak muridnya, untuk berselawat ke atas baginda nabi sebanyak 12 000 kali sehari. MasyaAllah. Malulah kita. Kita? 10 sampai tak? Renungkan sendiri la ye.

Akhir kalam. Yang baik itu datangnya dari Allah dan yang buruk, cacat itu datangnya dari kelemahan saya sendiri. Mudah-mudahan semuanya bermanfaat, insyaAllah. Renungkanlah hadith nabi ni.

Rasulullah SAW bersabda:

“Hidupku adalah kebaikan kepada kamu dan wafatku adalah kebaikan juga kepada kamu, kerana segala amal kamu sentiasa dibentangkan kepadaku, maka apa saja amal yang aku dapati baik, aku ucapkan ‘Alhamdulillah’, dan apa saja amal kamu yang jahat, aku memohon keampunan Allah untuk kamu.”  
[HR Ibni Mas’ud]

JOM SELAWAT...

 اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَامُحَمَّدٍ وَ عَلَى آلِا مُحَمَّدٍ

Allahu'alam ^^

1 comment: