Wednesday, 20 November 2013

Latar Belakang Syiah


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

InsyaAllah, kali ini entry blog mamat ni akan dedahkan mengenai SYIAH. Segala pertanyaan kalian mengenai Syiah, insyaAllah terungkai dalam blog ini. Soalan yang biasa ditanya oleh orang ramai.
- Siapa Syiah?
- Bila Syiah wujud?
- Syiah semua sesat ke?
- Siapa pengasas Syiah?
- Dan banyak lagi.

InsyaAllah, kita bongkarkan segalanya tentang kesesatan Syiah.

LATAR BELAKANG SYIAH

Syiah (شيعة) dari segi bahasa bermaksud pengikut dan pembela seseorang. Dari segi istilah pula bermaksud mereka yang berpendapat bahawa Saidina Ali bin Abi Thalib lebih berhak untuk memegang tampuk pemerintahan dan lebih utama daripada sahabat-sahabat lain. Syiah di Malaysia merupakan satu kelompok perpecahan dari umat Islam yang merangkumi lebih kurang 10% dari seluruh umat Islam di dunia. Golongan Syiah berpecah kepada beberapa kumpulan.  Antara puak-puak dalam Syiah adalah seperti berikut. 

Puak-puak Syiah.

1. Imamiah (الإمامية)

Dikenali dengan Imamiah kerana menjadikan persoalan Imamah (melantik dan beriman kepada mereka) sebagai perkara Usul dalam agama yang wajib dipercayai. Ianya merupakan puak yang paling utama dalam Syiah. Dinamakan juga sebagai al-Rafidah (الرافضة) kerana “ingkar dan menolak” kelayakan Abu Bakar, Umar dan Uthman sebagai Khalifah selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. Mereka adalah orang yang berpegang kepada pendapat bahawa Ali adalah imam selepas Rasulullah SAW dengan cara dalil nas yang jelas menyebut nama Ali. Asy-Syahrastani mendefinisikan mereka dalam buku al-malal dan Al-Nahl dengan berkata; "...Al-Imamiah adalah mereka yang berpendapat bahawa Ali adalah Imam selepas Rasulullah SAW dengan cara dalil nas yang jelas dan bukan dengan cara isyarat dengan sifat-sifat tertentu tetapi dengan lantikan yang jelas...". Syiah Imamiah ini terbahagi pula kepada 15 kelompok :

Muhammadiah
- Baqiriah
- Nawuusiah
- Syumaitiah
- ‘Ammariah
Ismailiah
- Mubarakiah
- Musawiah
- Qat’iah
Isna ‘Asyariah
- Hasyimiah
- Zurariah
- Yunusiah
- Syaithaniah
- Kamiliah

Dua kumpulannya yang terkenal adalah :

a) Syiah Imam Dua Belas (Isna ‘Asyariah )

Ianya dipanggil juga dengan nama Isna ‘Asyariah (اثنى عشرية) kerana berpendapat bahawa 12 daripada imam-imam mereka maksum sebagaimana Nabi Muhammad s.a.w. (dijaga daripada melakukan dosa, lalai, lupa, tersalah dengan sengaja ataupun tidak sengaja). Kumpulan ini merupakan golongan Syiah yang terbesar di Iran dan merangkumi hampir 60% daripada penduduk Iraq. Golongan ini juga menjadi golongan minoriti di Pakistan, Syria, Lebanon dan Afghanistan.

12 Imam Syiah

12 imam mereka adalah sebagaimana berikut :

1. Ali bin Abi Thalib (al-Murtadha)
2. Hasan bin Ali (al-Mujtaba)
3. Husin bin Ali (al-Syahid)
4. Ali Zainal Abidin (al-Sajjad)
5. Muhammad (al-Baqir)
6. Ja’afar (al-Sadiq)
7. Musa (al-Kazim)
8. Ali (al-Redha)
9. Muhammad (al-Jawwad)
10. Ali (al-Hadi)
11. Hassan (al-Askari)
12. Muhammad (al-Mahdi al-Muntazor)

b) Syiah Ismiliah

Mereka adalah puak Syiah yang berpendapat bahawa imam selepas Jaafar adalah anaknya Ismail bin Jaafar. Selepas kematian Ismail mereka berpecah menjadi dua kumpulan. Pertama adalah kumpulan yang menunggu-nunggu kemunculan Ismail bin Jaafar kerana mereka percaya bahawa Ismail tidak mati. Kumpulan kedua pula mempercayai bahawa imam selepas jaafar adalah Muhammad bin Ismail kerana Jaafar telah melantik anaknya sebagai Imam selepasnya. Apabila Ismail meninggal dunia semasa ayahnya masih hidup mereka percaya bahawa Jaafar melantik anaknya Ismail sebagai imam sebenarnya untuk menunjukkan bahawa imam selepasnya sebenarnya adalah Muhammad bin Ismail. Kemudian mereka berpecah menjadi kumpulan yang banyak dengan pandangan yang pelbagai. Mereka juga mempunyai gelaran yang banyak. Di antara yang termahsyur adalah Al-Bathiniah (akan diterangkan ) kerana bagi mereka setiap hukum yang zahir ada batinnya atau kerana mereka berpendapat bahawa imam juga wujud dalam keadaan batin atau terselindung.

Kumpulan ini mempunyai Imam Tujuh dan pengikutnya dianggarkan seramai 2 juta orang. Kumpulan ini sekarang berpusat di India dan bertaburan di sekitar Asia Tengah, Iran, Syria dan Timur Afrika.

2. Zaidiah (الزيدية)

Mereka adalah pengikut-pengikut Zaid bin Ali bin Al-Husain bin Ali bin Abu Thalib. Mereka digelar sebagai Zaidiah kerana mereka berpegang kepada kata-kata Zaid bin Ali yang mengutamakan Ali bin Abu Thalib lebih daripada sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang lain. Beliau terkesan dengan pemikiran Wasil bin Ata’ (pengasas fahaman Muktazilah) dan ulama’ mengklasifikasikan pengikut Zaidiah dalam golongan yang mu’tadil  kerana yang paling hampir kepada Ahli Sunnah wal Jamaah, lebih-lebih lagi dalam persoalan ibadat. Beliau juga memperakui Abu Bakar dan Umar sebagai Khalifah dan berpendapat bahawa harus bagi umat Islam menentang imam-imam yang zalim. Apabila beliau berada di kalangan pengikut-pengikutnya dan mendengar ada yang mencela Abu Bakar dan Umar, beliau mengingkari orang yang mencela itu. Mereka yang telah memberi bai'ah kepadanya meninggalkannya. Nama Zaidiah kekal diberi kepada pengikut-pengikut yang setia bersamanya.

Imam pada pegangan puak ini adalah daripada keturunan Fatimah dan tidak boleh berpindah kepada selain dari keturunan Fatimah. Mereka mengharuskan imam selain daripada keturunan Al-Hasan dan Al-Husain dengan syarat seorang itu mesti berilmu,zuhud, berani dan pemurah yang wajib ditaati. Mereka adalah puak Syiah yang mempunyai pegangan yang paling hampir kepada Ahli Sunnah kerana mereka menerima khalifah Abu Bakar dan Umar kecuali satu kumpulan daripada mereka yang dinamakan Al-Jarudiah.
Kumpulan yang dikenali dengan nama Syiah Imam Lima ini berkembang di Yaman dan hampir 40% daripada penduduk negara itu adalah pengikut Ysiah Zaidiah.
 
Puak yang mahsyur daripada kumpulan ini adalah Al-Jarudiah, Al-Sulaimaniah, Al-Solihiah dan Al-Banziah.

3. Kaisaniah (الكيسانية)

Pengasasnya adalah Mukhtar bin Ubai al-Thaqafi yang merupakan khadam kepada Muhammad bin Ali bin Abu Thalib (anak Saidina Ali dengan isterinya Haulah dari bani Hanifah lalu dikenali Muhammad al-Hanafiah sempena nama kabilah ibunya). 

Adapun Kaisan merupakan khadam kepada Saidina Ali bin Abi Thalib. Setelah kewafatan Ali, dia lalu menjadi khadam  kepada Muhammad al-Hanafiah. Dia bersungguh-sungguh mempertahankan Hasan dan Husin dalam mendapatkan hak kekhalifahan.

Selepas kematian keduanya, mereka pula mempertahankan hak terhadap Muhammad bin al-Hanafiah. Lalu ada dikalangan mereka yang ghuluw (melampau) lalu menjadi buruan pemerintah ketika itu.

Terdapat 2 kelompok daripada Kaisaniah :

1. Yang mendakwa bahawa Muhammad al-hanafiah masih belum mati kerana beliau menyelamatkan diri ke sebuah daerah Radhwa (sebuah kawasan pergunungan) ketika diburu pemerintah kerana disebabkan oleh pengikut-pengikutnya yang melampau. Beliau dipercayai masih lagi hidup dan bersembunyi disana. Beliau akan keluar pada hari kiamat sebagai Imam Mahdi. 

2. Mereka yang memperjuangkan hak kekhilafahan Muhammad al-Hanafiah semasa beliau masih lagi hidup. Dan hak tersebut berpindah-pindah kepada orang lain selepas kematiannya.


4. Ghulah (الغلاة)

Mereka yang melampaui had dalam persoalan aqidah. Bukan sahaja berpandangan bahawa Saidina Ali lebih mulia dan layak daripada sahabat-sahabat lain dalam persoalan Khilafah bahkan lebih agung daripada Rasulullahs.a.w. 

Mereka juga berpendapat Rasulullah s.a.w. hamper sama wajahnya dengan Ali, oleh sebab itu malaikat Jibril tersalah sampaikan wahyu kepada Rasulullah sedangkan asalnya disampaikan kepada Saidina Ali. Ada juga yang menyatakan Jibril sengaja melakukan sedemikian lalu mengkafirkan Jibril.

Mereka percaya kepada konsep perpindahan ruh (tanasukh al-arwah) dari satu jasad kepada jasad yang lain,apabila sesorang melakukan kejahatan maka pada kebangkitan lain ruh mereka akan menjelma dalam keadaan yang menghinakan, jika mereka melakukan kebaikan maka ruh tersebut akan menjelma dalam keadaan yang mulia dan dihormati.

Kerana itulah golongan ini menyatakan bahawa Abu Bakar dan Umar akan dibangkitkan pada dekatnya Kiamat dalam rupa keldai dan baghal dan imam-imam mereka akan menjadi pengembala serta memukul-hinakan Abu Bakar dan Umar ketika itu dalam keadaan keldai dan baghal. 

Mereka sampai kepada batas ketaasuban dan kelampauan sehingga mengatakan Saidina Ali bin Abi Thalib dan imam-imam mereka sebagai Tuhan. Samada Tuhan hulul (menjelma masuk) dalam badan mereka atau mereka bersifat dengan sifat-sifat ketuhanan.

Walaupun mereka mendakwa bahawa pegangan mereka daripada agama Islam namun jumhur ulama’ berpendapat mereka telah terkeluar daripada acuan Islam.

Syiah Ghulah ini terbahagi kepada Saba’iah, Bayaniah, Mughiriah, Mansuriah, Ghurabiah, Khattabiah, Janahiah, Hululiah, Syari’iah, Numairiah.

Syiah Di Malaysia

Di Malaysia, terdapat 3 kumpulan Syiah yang berkembang sejak beberapa tahun yang lalu iaitu :

1. Syaih Taiyibi Bohra ( Dawood Bohra )

Kumpulan ini berasal dari India dan di Malaysia ia dikenali dengan golongan yang memiliki Kedai Bombay. Kumpulan yang berpusat di daerah Klang ini mempunyai tanah perkuburan dan masjidnya sendiri dan pengikutnya dianggarkan sekitar 200 hingga 400 orang. ( tahun 1996 )

2. Syiah Ismailiah Agha Khan

Kumpulan yang dikenali dengan nama Kedai Peerbhai ini bergerak di sekitar Lembah Klang. Jumlah pengikut tidak diketahui tetapi bilangannya lebih kecil dari kelompoh Bohra.

3. Syiah Ja’fariyah @ Imamiah Isna ‘Asyariah ( Imam 12 )

Kumpulan ini dipercayai bertapak di Malaysia selepas kejayaan Revolusi Iran pada tahun 1979. Pengaruh ajaran dan fahaman kumpulan ini menular ke negara ini melalui bahan-bahan bacaan dan orang perseorangan sama ada yang berkunjung ke Iran atau yang datang dari Iran. Fahaman Syiah ini bertambah meruncing apabila beberapa orang pensyarah universiti telah memainkan peranan untuk sebarkan fahaman Syiah Ja’fariyah secara serius kepada para pelajar di Institut Pengajian Tinggi. 


Pengaruh fahaman Syiah ini kian menular je negeri-negeri di Semenanjung Malaysia antaranya Kelantan, Johor, Perak, Wilayah Persekutuan dan Selangor. Di Malaysia, pengikut kumpulan ini dianggarkan sekitar 200 000 – 300 000 orang yang telah berdaftar. Mungkin telah sampai 1juta orang sekarang.. Antara gejala Syiah yang timbul akibat dari fahaman dan ajaran Syiah ialah :

- Adanya usaha menghantar pelajar melanjutkan pelajaran ke Iran.
- Wujudnya kes kahwin Mut’ah.
- Meluasnya penyebaran buku-buku Syiah.
- Wujudnya sokongan dari golongan tertentu kepada pengaruh Syiah terutama golongan ahli politik.
- Wujudnya kesamaran dan keraguan orang ramai terhadap aspek ajaran dan pegangan Islam sebenar, contohnya dalam aspek perkahwinan, pengebumian dan sebagainya.

Kitab Rujukan Syiah

Beberapa buah kitab utama Syiah telah dijadikan bahan rujukan dan sebahagiannya telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu. Antaranya :

i. Kasyf al-Asrar oleh Ayatullah al-Khomeini
ii. Al-Hukumah al-Islamiah oleh Ayatullah al-Khomeini
iii. Al-Sabah Min al-Salaf oleh Ayatullah al-Murtadza az-Zubaidi
iv. Al-Usul Min al-Kaft oleh Syeikh Muhammad bin Yaacob al-Kulaini
v. Tahrir al-Wasilah oleh Ayatullah al-Khomeini
vi. Al-Murajaat oleh as-Syeikh Abdul Husin Syarafuddin al-Musawi
vii. Peshawar Nights oleh Sayyid Muhammad Rais al-Wahidin
viii. Mafatih al-jittan oleh Syeikh Abbas al-Qummi
ix. Minhaj Kebenaran dan Pendedahannya oleh al-Hasan bin Yusuf al-Mutahhar al-Hulliyy, diterjemahkan oleh Prof. Madya Dr. Lutpi Ibrahim
x. Mengapa aku memilih Ahlul Bait a.s? oleh Syeikh Muhammad Mar’i al-Amin al-Antaki, diterjemahkan oleh Prof. Madya Dr. Lutpi Ibrahim
xi. Al-Sahabah oleh Haidar
xii. Ahlul Bait oleh Dr. Mahfus Mohamed

Gerakan Kebatinian.

Banyak daripada kumpulan dan agen parasit daripada luar yang ingin merosakkan Islam. Mereka mula menyerang agama Islam dengan mencipta beberapa ideologi berbentuk harakah batiniah (gerakan kebatinan) lalu diserap masuk kedalam Islam dengan menjadikan cinta kepada Ahli Bait Nabi sebagai hujjah mereka. Ada juga yang menjadikan persoalan falsafah, ilmu kalam, tasawuf ,perbandingan agama dan kebebasan mutlak terhadap manusia sebagai fokus utama dalam menyebarkan fahaman kebatinan ini.

Golongan ini digelarkan dengan nama al-Batiniah (الباطنية) kerana mereka berkata :

“Syariat Allah itu ada lahir dan batinnya, begitu juga dengan ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi Muhammad”

Mereka menggunakan kaedah takwil sebagai manhaj utama menyebarkan fahaman ini.  

Sebagai contoh :

“Sesiapa yang mengetahui makna hakikat ibadah, gugur fardu ibadah daripadanya”. Ini diambil daripada Firman Allah dalam Surah al-Hijr, ayat 99 berbunyi :

“Sembahlah Tuhanmu sehingga kamu yakin.”

Mereka bergerak samada dalam keadaan jelas atau tersembunyi dalam mana-mana kelompok. Antara gerakan mereka yang dapat dikenal pasti oleh para ulama iaitu gerakan Yazidiah, Qaramitah, Ismailiah, Druze, Nusairiah, Hashsyasyin, Babiah, Baha’iah, Qadianiah, Hizbul Jumhuri, Ansar, Khumainiah dan Harakah Amal. 

Pengasas awalnya adalah Maimun bin al-Ahwazi, Muhammad bin Hussin (al-Dandan) bersama satu kumpulan yang dinamakan al-Jarabijah yang pernah berkumpul sekali dalam penjara di kawasan Iraq, lalu bersepakat mengasaskan gerakan kebatinan. Selepas bebas daripada penjara, mereka mula menyebarkan fahaman dan doktrin-doktrin tersebut yang diceduk daripada Islam, Majusi, Yahudi, Nasrani, Mesir Kuno, Parsi, Yunani, Anamisma dan Buddha.

Gerakan mereka ini terlebih bahaya daripada Yahudi, Nasrani, Majusi dan Dahriah kerana mereka bergerak dengan menyalurkan doktrin mereka secara halus dan dengan penggunaan nama Islam sebagai tipu muslihat. 

Modus operandi sebagaimana dinyatakan oleh Dr. Anwar Hamid Isa ada beberapa peringkat dalam meniupkan ruh tipu daya mereka :

1.  Al-Tafarras :  Memerhati daripada jauh mangsa yang sepatutnya
2.  Al-Ta’nis  :  Mula berdamping dan tunjukkan keramahan untuk berkawan
3.  Al-Tasykik :  Timbulkan persoalan dan keraguan tentang Islam
4.  Al-Ta’liq :  Cuba memberi ulasan dan komentar yang salah tentang Islam
5.  Al-Rabt :  Akan sentiasa cuba berhubung dan menarik dengan lebih rapat
6.  Al-Tadlis :  Meresap-masukkan doktrin-doktrin pelik lalu menipu dan perdaya
7.  Al-Ta’sis :  Mula melakukan proses pembentukan menjadi ahli gerakan bersama
8.  Al-Khulu’ wal Salakh:  Memisah dan mencabut. Mula-mula menjauhkan umat Islam 
     daripada pengamalan spiritual mereka sehari-hari dan seterusnya kepada gugurnya keimanan kepada            Allah.

InsyaAllah, banyak lagi entry mengenai Syiah akan menyusul lepas ni. Semoga kita, keluarga dan orang-orang yang kita sayang terpelihara dari fahaman sesat ini. Allahumma aamiin.  Kita bongkarkan semuanya. Allahuakbar!!

Wallahu'alam.






1 comment:

  1. https://drive.google.com/file/d/0B6ut4qmVOTGWMkJvbFpZejBQZWM/view?usp=drivesdkWeb: almawaddah.info

    Salam


    Kepada:

     

    Redaksi, rektor dan para akademik


    Per: Beberapa Hadis Sahih Bukhari dan Muslim yang Disembunyikan


    Bagi tujuan kajian dan renungan. Diambil dari web: almawaddah. info

    Selamat hari raya, maaf zahir dan batin. 


    Daripada Pencinta Islam rahmatan lil Alamin wa afwan

    ReplyDelete