Sunday 8 September 2013

Bid'ah Dalam Masalah Khilaifiyah


Assalamualaikum..

InsyaAllah, kali ini akan meneruskan mengenai bab bid'ah. Ingin ditonjolkan beberapa perkara yang sering diungkitkan oleh golongan pembid'ah, membid'ahkan semua perkara. Perkara yang ada dalam mazhab, mereka tolak kerana kata mereka itu semua adalah bid'ah.

Antaranya terdapat pendapat-pendapat mazhab itu yang zahirnya menyalahi nas-nas al-Qur’an dan al-Sunnah. Tidak disebut di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah. Didiamkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah. Menyalahi hadith yang sahih. Menyalahi imam mazhab sendiri. Tidak dilaksanakan oleh ulama Salaf serta pelbagai lagi dakwaan yang lain.

Kebanyakan isu-isu yang dibangkitkan oleh golongan ini pula lebih berkisar kepada permasalahan cabang fiqh. Namun hukuman ‘bid‘ah’ yang dijatuhkan oleh mereka ke atas masyarakat yang tidak menerima hujjah mereka menyebabkan isu yang kecil menjadi besar. Secara ringkasnya, dibentangkan beberapa isu yang dibangkitkan oleh golongan anti mazhab dari pelbagai sudut masalah fiqh serta jawapannya oleh penganut mazhab :-

a) Menafikan solat sunat ihram. Pandangan ini adalah amat bertentangan
dengan pandangan jumhur ulama dalam mazhab Maliki, Syafi’i dan Hanbali
yang mengatakan kesunatan solat sunat sebelum ihram berdalilkan zahir
hadith Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan dalam sahih al- Bukhari dan Muslim.

b) Mendakwa anjing tidak najis tetapi hanya mazhab yang mengatakan ia najis. Ia berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh al-Bukhari yang menunjukkan bahawa anjing pernah kencing dan berjalan-jalan di dalam masjid. Ia dijawab bahawa hukum najis ke atas badan anjing diqiyaskan kepada kenajisan mulut anjing sebagaimana yang tersebut di dalam hadith sahih. Qiyas aulawi ini digunapakai dalam mazhab Syafi’i dan Hanbali. Adapun hadith al-Bukhari yang mengatakan bahawa anjing pernah kencing dan berjalan di dalam masjid dijawab oleh Ibnu Hajar al-Asqalani sebagai hadith yang terbit sebelum daripada arahan supaya kawasan masjid dipelihara daripada najis dan kotoran.

c) Mendakwa darah tidak najis tetapi hanya mazhab yang mengatakan ia najis.
Ia berdasarkan hadith hasan riwayat Abu Daud yang dikatakan bahawa
seorang sahabat yang berlumuran darah tetap terus menunaikan solatnya.
Pandangan ini amat bercanggah dengan kesepakatan semua mazhab
berasaskan dalil al-Qur’an yang jelas bahawa darah itu haram dimakan. Imam
al-Qurtubi ketika mentafsirkan ayat surah al-Baqarah ayat 173 mengatakan:
“Ulama bersepakat bahawa darah itu haram dan najis, tidak dimakan dan
tidak boleh dimanfaatkan”. Ibnu Taimiyyah juga mengatakan bahawa kaedah
menyebut, kesucian dan kenajisan sesuatu adalah mengikut kepada
kehalalan dan keharaman sesuatu makanan atau minuman. Namun begitu
tidak dinafikan terdapat perbezaan pendapat ulama tentang jenis dan
keadaan darah tertentu. Oleh itu setiap hukum tidak boleh dimutlakkan
dengan hanya membaca satu dalil.

d) Mengatakan bahawa air kencing binatang yang halal dimakan adalah suci
berdasarkan hadith sahih, boleh dijadikan asal untuk diqiyaskan kepada
masalah kesucian anjing. Ianya dijawab dengan menjelaskan bahawa
walaupun hadith itu sahih tetapi istidlal terhadap hadith itu adalah berbeza beza mengikut pandangan ulama. Menurut mazhab Syafi’i dan Hanafi, hadith
yang mengatakan bahawa air kencing haiwan yang boleh dimakan itu suci
adalah hanya di dalam kes dharurat seperti untuk tujuan perubatan.

e) Mendakwa waktu imsak sebagai sesuatu yang bercanggah dengan sunnah
Rasulullah SAW, kerana ia melarang umat Islam makan dan minum sebelum
masuknya waktu Subuh. Ia dijawab dengan mengatakan bahawa waktu imsak adalah suatu ijtihad oleh para ulama Syafi’iyyah berdasarkan hadith sahih
bahawa jarak antara sahur Nabi SAW dan solat Subuh adalah lebih kurang
bacaan 50 ayat. Melalui hadith ini para ulama mengatakan sunat kita berhenti
makan dan minum 10 ke 15 minit sebelum masuknya waktu Subuh.
Perbuatan imsak ini hanya dianggap sunat dan sesiapa yang mengatakan
mazhab Syafi’i mengatakan ia wajib adalah suatu tohmahan dan tuduhan
melulu.

f) Menolak perkara-perkara yang membatalkan puasa berdasarkan fiqh mazhab
kerana berdasarkan hadith sahih terdapat hanya lima sahaja perkara yang
membatalkan puasa. Ia dijawab dengan mengatakan kaedah memahami
hukum hanya berdasarkan zahir nas sahaja adalah merupakan kaedah dalam
mazhab Ibnu Hazm al-Zahiri. Perkara-perkara yang membatalkan puasa ini
dibincangkan oleh ulama mazhab menurut kaedah Usul al-Fiqh dan bukan
sekadar melihat zahir nas.

g) Mempertikaikan jawab lafaz-lafaz iqamah dan doa selepasnya. Ia dijawab
bahawa lafaz iqamah dan doa selepasnya adalah pendapat jumhur ulama.
Termasuk yang membenarkannya adalah fatwa Lajnah Tetap Bagi Kajian
Ilmiah dan Fatwa Kerajaan Arab Suudi.

h) Mempertikai bacaan basmalah secara kuat. Ia dijawab bahawa membaca
basmalah dengan lafaz kuat atau perlahan adalah khilaf fiqhi di kalangan
ulama. Bagi mazhab Syafi’i membaca basmalah secara kuat adalah sunat
mua’kkad.

i) Mempertikai perbuatan menyapu muka selepas salam. Ia dijawab dengan
mengatakan perbuatan menyapu muka adalah sabit melalui hadith dha’if dan
amat keterlaluan untuk menyifatkan pelakunya ahli bid’ah.

j) Menolak talqin selepas pengkebumian. Ia dijawab dengan mengatakan
amalan talqin adalah sunat berdasarkan mazhab Syafi’i dan Hanbali. Imam
Nawawi mengatakan walaupun hadithnya dha’if namun ia disokong oleh
hadith-hadith yang sahih dan berdasarkan keumuman ayat al-Qur’an yang
memerintahkan manusia supaya sering ingat-mengingati.

Masalah-masalah di atas adalah termasuk dalam perbincangan cabang fiqh.
Perselisihan telah berlaku sejak sekian lama. Para ulama Usul mengatakan
perselisihan cabang fiqh tidak sekali-kali boleh dianggap bid‘ah. ‘Allal al-Fasi
mengatakan, “Dan tidak termasuk bid‘ah, fatwa-fatwa para ulama mujtahid, walaupun mereka mengeluarkan pandangan yang belum pernah didahului sebelumnya dengan syarat bersandarkan dalil-dalil syar‘i.”

Wallahu'alam.


No comments:

Post a Comment