Monday, 18 November 2013

Penegur Salah atau Penerima Yang Salah?


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Renungkan sementara...

Ustaz Don perlukan 30 minit untuk beri tazkirah. (30 Minit Bersama Ustaz Don)

Syeikh Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki perlukan 45 minit untuk beri tazkirah. (Cinta Ilmu)

UAI perlukan 1 jam untuk berikan tazkirah.

Masa berbeza-beza, namun ketiga-tiganya mempunyai matlamat yang sama, membawa manusia pada kebenaran.

Ustaz Don guna cara yang lembut.

Syeikh Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki cara yang agak tegas.

UAI guna cara yang sentap, makan dalam ayatnya.

Ketiga-tiga cara penyampaian yang berbeza, namun semuanya masih niat yang sama iaitu menegur dan menyampaikan dakwah.

Begitu juga jika dilihat pada Saidina Hassan dan Saidina Hussain, cucunda Rasulullah S.A.W. Saidina Hussain lebih kepada cara keras manakala Saidina Hassan cara yang lembut.

Cara yang keras tak bermakna perli, tak bermakna hentam, tak bermakna menghina. Itu dah tahap zalim, berdosa. Cara yang keras ni, gunakan bahasa yang agak tegas, yang agak sentap. Walaupun nampak agak kejam, tapi percayalah, jika kamu fikir dan husnuzon dengan teguran keras, kamu tahu dia ada niat yang baik.

Cek Balik.

1 - Kadang-kadang yang salah bukan pada penyampai, tapi pada kita. Kenapa kita susah sangat nak hadam teguran orang lain? Tepuk dada, tanya iman. Sama-sama muhasabah diri.

2 - Dan kadang-kadang cara teguran itu silap. Kita hanya menegur tapi tak membawa dia pada kebaikan. Lupakah kalian pada firman Allah :

3:110


"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) diantara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik."
[Surah Ali Imran, ayat 110]

Allah berfirman di situ, suruh, ajak buat kebaikan dahulu, barulah melarang dia dari lakukan kesalahan. Tapi orang sekarang, hanya melarang tapi tidak mengajak.

3 - Dan ini biasa jadi. Masalah dalam diri penegur. Biasanya kerana ego yang ada dalam diri. Mengharapkan supaya orang terima teguran kita, tapi kita susah nak terima teguran orang lain. Bila ditegur, kita melenting. Berhujah dengan orang yang menegur tu. Ini lah perkara yang biasa jadi pada daie zaman sekarang.

p/s : Allah tak pandang pada hasil. Tapi Allah lihat pada usaha kamu. Allah tak pandang kuantiti tapi Allah nilai kualiti.

Sama-sama muhasabah diri. Jika diri ini ada salah, jangan segan silu tegur. Diri ini hanyalah insan kerdil, yang bergelumang dengan dosa. Terlalu hina. :')

Wallahu'alam.

Thursday, 14 November 2013

Kelebihan Surah Al-Kahfi


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Memandangkan malam ni malam Jumaat, InsyaAllah kali ini nak cerita tentang surah al-kahfi, kelebihan yang ada pada surah ini. 



Surah Al-Kahfi

Surah Al-Kahfi yang bermaksud Gua. Surah ini adalah surah Makkiyah yakni surah yang diturunkan di Makkah. Surah ini mengandungi sebanyak 110 ayat. Apa cerita yang terkandung dalam surah ni? Kenapa diberi nama 'Gua'? 

Surah ini mengandungi banyak kisah. Dalam surah ini, Allah menceritakan tentang beberapa pemuda Ashabul Kahfi yang bersembunyi di dalam gua kerana mempertahankan aqidah mereka, pertahankan tauhid mereka dari pemerintah yang zalim. Selain itu, Allah juga menceritakan tentang kisah si kafir yang memiliki kebun dan sahabatnya yang beriman kepada Allah S.W.T, kisah Nabi Musa A.S. yang bertemu dengan Nabi Khidir A.S, dan kisah Iskandar Dzulqarnain yang menyelamatkan satu kampung dari serangan yakjuj dan makjuj.

Asbabun Nuzul surah Al-Kahfi.

Kenapa diturunkan surah ini? Kisahnya bermula ketika beberapa penduduk Makkah datang kepada Nabi Muhammad S.A.W. bertanya tentang roh, kisah Ashabul Kahfi dan kisah Dzulqarnain. Nabi menjawab, "Datanglah esok hari kepadaku agar aku ceritakan." 

Keesokan harinya wahyu tidak datang menemui Nabi, sehingga Nabi gagal menjawab hal-hal yang ditanyakan. Tentu saja "kegagalan" ini menjadi cemuhan kaum kafir Quraisy terhadap Nabi s.a.w..

Selepas satu tempoh masa, turunlah ayat menegur Nabi:

"Dan janganlah kamu mengatakan terhadap sesuatu: 'Sesungguhnya aku akan mengerjakan itu esok (kemudian)', kecuali (dengan menyebut): 'InsyaAllah' (jika Allah mengizinkan). Dan ingatlah kepada Tuhan-Mu jika kamu lupa dan katakanlah: 'Mudah-mudahan Tuhanku akan memberiku petunjuk kepada yang lebih dekat kebenarannya daripada ini'." [Surah Al-Kahfi : 23-24]

Apakah pengajaran yang kita boleh ambil dari kisah ini?

Surah ini juga mengajar umat Islam agar apabila berjanji, hendaklah mengatakan “insyaAllah”. Ia suatu kalimah yang sangat penting. Semua berlaku dengan kehendakNya.

Kelebihan Surah Al-Kahfi.

Rasulullah bersabda: 

"Barang siapa yang membaca Surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka Allah akan meneranginya dengan cahaya dari Jumaat yang dia baca kepada Jumaat yang berikutnya.” [HR Hakim dan Baihaqi]

Daripada Muaz Ibnu Anas Al-Juhari, daripada bapanya, daripada Nabi SAW baginda bersabda: 

“Sesiapa membaca dari Surah Al-Kahfi, maka jadilah baginya cahaya daripada kepala hingga kakinya dan sesiapa yang membaca keseluruhannya, maka jadilah baginya cahaya antara langit dan bumi.” [HR Ahmad]

Daripada Abu al-Darda’ bahawa Nabi S.A.W telah bersabda yang maksudnya:

“Barangsiapa yang menghafaz sepuluh ayat daripada awal surah al-Kahfi, pasti terlindung daripada dajjal.”  [HR Muslim]

Surah Al-Kahfi ni panjang. Macam mana nak habiskan? 

Takpe. Baca setakat yang mampu malam Jumaat. Boleh sambung pagi Jumaat. Tak ada masalah. 

Boleh ke Nak Baca Surah Lain?

Umum ketahui, masyarakat kita di Malaysia dah terbiasa dengan bacaan surah Yasin pada malam Jumaat. Boleh ke? Bukan ke sunnah baca surah Al-Kahfi? Tak mengapa. Tak ada masalah pun. Baca surah Yasin masih dapat pahala. Bukannya bid'ah. Baca surah Yasin malam Jumaat, surah Al-Kahfi boleh baca pagi esoknya. Dah dapat dua pahala. 

Tapi ada yang kata baca surah selain Al-Kahfi itu bid'ah?

Takde nya bid'ah. Boleh je. Yang jadi masalahnya, golongan ni duk marah orang supaya baca surah Al-Kahfi, halang orang baca surah Yasin atau surah selain dari Al-Kahfi pada malam Jumaat, tapi diri sendiri tak baca langsung. Itu yang jadi masalah. Jangan membid'ahkan semua perkara. Jangan halang orang lain untuk beribadah. Tak suka tengok orang beribadah, duk diam-diam sudah. Kita teruskan je dengan amalan tu. 



Semoga hubungan kita dengan Allah sentiasa terpelihara. Kita jaga hubungan kita dengan Al-Quran, maknanya hubungan kita dengan Allah juga dekat insyaAllah.

Wallahu'alam. ^^