Tuesday, 3 September 2013

Fahami Hadith Mengenai Bid'ah


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

InsyaAllah, kali ini akan kongsikan sedikit ilmu mengenai bid'ah. Nak ceritakan kesilapan pihak tertentu yang silap tafsirkan hadith, fahami hadith hanya melalui zahirnya. Betulkan jika ada yang silap.

* * *

KAEDAH ilmu menetapkan bahawa hadis-hadis Nabi SAW perlu ditafsir di antara sebahagiannya dengan sebahagian hadis yang lain dan perlu disempurnakan sebahagiannya dengan sebahagian yang lain. Umat Islam perlu memahami sabda Nabi Muhammad SAW dengan pemahaman yang cermat, komprehensif dan sempurna. Ia juga mesti ditafsirkan dengan roh Islam dan difahaminya bertepatan dengan pendapat dan penelitian Ahli Nazar (Pakar-pakar pengkaji Islam).

Oleh kerana itu, kita mendapati untuk memahami atau mentafsir banyak hadis, memerlukan kepada kecemerlangan akal, kecerdasan intelektual dan pemahaman yang mendalam serta disertai hati yang sensitif. Pemahamannya mesti berdasarkan syariat Islam. Di samping memerhatikan keadaan dan situasi umat Islam serta pelbagai keperluannya. Situasi dan keadaan umat memang harus diselaraskan dengan batasan-batasan kaedah Islam, nas-nas al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad SAW tanpa terkeluar daripadanya.

Contohnya termasuklah hadis ini: "Setiap bidaah adalah sesat." Untuk memahami hadis seperti ini dengan betul, kita mesti mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan bidaah dalam hadis ini ialah bidaah sayyi'ah, iaitu bidaah yang salah dan menyesatkan. Yang tidak didasarkan kepada ajaran pokok agama Islam.

Pendekatan seperti ini atau apa diistilahkan sebagai taqyid (membataskan yang mutlak) juga digunakan pada hadis yang lain seperti hadis:"Tidak ada solat (yang sempurna) bagi tetangga masjid, kecuali (yang dilakukan) di dalam masjid."

Hadis di atas, meskipun mengandungi hasr (pembatasan), iaitu menafikan solat tetangga masjid, tetapi kandungan umum daripada hadis-hadis lain mengenai solat, mengisyaratkan bahawa hadis tersebut perlu difahami dengan suatu qayyid atau pengikat. Maka pengertiannya ialah, "tidak ada solat (fardu) yang sempurna bagi tetangga masjid, kecuali di masjid." Namun, tetap terdapat perselisihan pendapat di antara ulama dalam isu ini.

Begitu juga dengan hadis Rasulullah SAW ini: "Tidak ada solat di samping makanan (yang telah terhidang)." Maksudnya adalah "tidak sempurna solat di samping makanan yang telah terhidang."

Pendekatan yang sama juga harus kita gunakan untuk memahami hadis berikut: "Tidak beriman seseorang kamu kecuali ia mencintai saudaranya seperti ia mencintai dirinya sendiri." Iaitu dengan erti kata, "tidak sempurna iman."

Begitu juga hadis berikut: "Demi Allah! Tidak beriman. Demi Allah! Tidak beriman. Demi Allah! Tidak beriman (dengan keimanan yang sempurna)." Ada yang bertanya, "Siapakah (yang tidak sempurna keimanannya) itu, wahai Rasulullah?" Baginda SAW bersabda: "Orang yang jirannya tidak berasa aman dengan gangguannya."

Demikian juga hadis-hadis ini: "Tidak masuk syurga pengadu domba." "Tidak masuk syurga pemutus tali persaudaraan. Tidak masuk syurga orang yang derhaka kepada kedua orang tuanya."

Menurut tafsiran ulama, yang dimaksudkan dengan tidak masuk syurga itu adalah tidak masuk awal ke dalam syurga, atau tidak masuk syurga jika menghalalkan perbuatan mungkar tersebut. Justeru kita dapati, para ulama tidak memahami hadis tersebut menurut zahirnya, tetapi mereka memahaminya melalui dengan pendekatan takwil (melihat makna alternatif yang muktabar).

Maka hadis bidaah tersebut juga termasuk dalam bab ini. Keumuman kandungan pelbagai hadis lain dan amalan para sahabat RA memberikan kesan bahawa yang dimaksudkan dengan bidaah dalam hadis tersebut hanyalah bidaah sayyi'ah; yakni bidaah yang jelas tidak mempunyai landasan pokok daripada ajaran Islam; dan bukan semua bidaah.

Cuba pula kita perhatikan hadis berikut: "Sesiapa yang melakukan suatu Sunnah yang baik, maka ia berhak mendapat pahalanya dan pahala orang yang mengamalkannya hingga hari Kiamat." Juga hadis, "Hendaklah kalian mengikut Sunnahku dan Sunnah para khalifah yang memberikan petunjuk." Perhatikan juga perkataan Umar al Khattab RA mengenai solat Terawih (secara jemaah): "Sebaik-baik bidaah adalah perbuatan ini."

InsyaAllah, lepas ni akan menyusul beberapa entry lagi mengenai bid'ah.

Wallahu'alam. 

72 Firqah dan Pecahannya..




Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...

Dihantarkan puji untuk Allah, Tuhan yang mula-mula menciptakan dan menghidupkan kembali sesudah mati. Tuhan yang memperbuat apa sahaja yang dikehendakiNYa, Yang besar dan tinggi, Yang tunggal, Maha Esa, tiada yang menyerupai Dia, Yang mempunyai sifat-sifat kebesaran dan kemulian.

Selawat dan Salam dimohonkan untuk Penghulu kita, Nabi paling akhir yang diutuskan Allah untuk menjadi saksi, pembawa berita gembira untuk hamba-hambaNya yang soleh dan pembawa berita duka bagi ummatnya yang derhaka. Rasul yang memanggil ummat ke jalan Allah dengan idzin Allah, iaitu Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Juga di panjatkan selawat kepada para sahabat dan keluarga. Nabi yang baik dan suci dari noda,yang Allah redha akan mereka dan mereka redha akan Allah. Akhirnya dinyatakan,bahawa cukuplah Allah sebagai Pelindung, dan Allah sebaik-baik Penolong dan Pelindung.

Tersebut dalam Kitab Bugyatul Mustarsyidin, karangan Mufti Syaikh Sayid Abdurrahman bin Muhammad bin Husein bin Umar, yang dimasyhurkan dengan gelar Ba’Alawi, pada mukasurat 398, cetakan Mathba’ah Amin Abdul Majid Cairo (138 H.), bahawa 72 firqah yang sesat itu berpokok pada 7 firqah , iaitu :

1. Kaum Syi’ah, iaitu kaum yang berlebih-lebihan memuja Saidina ‘Ali Karamallahu wajhahu. Mereka tidak mengakui Khalifah-Khalifah Abu Bakar, Umar dan Utsman, Radhiyallahu’anhum.

Kaum Syi’ah kemudian berpecah menjadi 22 aliran.

2. Kaum Khawarij, iaitu kaum yang berlebih-lebihan membenci Saidina ‘Ali Karamallahu wajhahu. Bahkan ada diantaranya yang mengkafirkan Saidina ‘Ali. Firqah ini berfatwa bahawa orang-orang yang membuat dosa besar menjadi kafir.

Kaum Khawarij kemudian berpecah menjadi 20 aliran.

3. Kaum Mu’tazilah, iaitu kaum yang berfahaman bahawa Tuhan tidak mempunyai sifat, bahawa manusia membuat pekerjaanya sendiri, bahawa Tuhan tidak boleh dilihat dengan mata syurga, bahawa orang yang mengerjakan dosa besar diletakkan di antara dua tempat, dan mi’raj Nabi Muhammad hanya dengan ruh sahaja, dan lain-lain.

Kaum Mu’tazilah kemudian berpecah menjadi 20 aliran

4. Kaum Murji’ah, iaitu kaum yang memfatwakan bahawa membuat maksiat tidak memberi kesan kalau sudah beriman, dan sebagai keadaannya membuat kebaikkan tidak memberi manfaat kalau kafir.

Kaum Murji’ah kemudian berpecah menjadi 5 aliran.

5. Kaum Najariyah, iaitu kaum yang memfatwakan bahawa perbuatan manusia adalah makhluk, yakni dijadikan Tuhan, tetapi mereka berpendapat bahawa sifat Tuhan tidak ada.

Kaum Najariyah kemudian berpecah menjadi 3 aliran.

6. Kaum Jabariyah, iaitu kaum yang memfatwakan bahawa manusia “majbur”, ertinya tidak berdaya apa-apa. Kasab atau usaha tidak ada sama sekali,

Kaum ini hanya 1 aliran.

7. Kaum Musyabbihah, iaitu kaum yang memfatwakan bahawa ada keserupaan Tuhan dengan manusia, umpamanya bertangan, berkaki, duduk di kerusi, duduk di tangga dan lain-lainnya.

Kaum ini hanya 1 aliran.

Jadi jumlahnya adalah :

1. Kaum Syi’ah - 22 aliran.

2. Kaum Khawarij - 20 aliran.

3. Kaum Mu’tazilah - 20 aliran.

4. Kaum Murji’ah - 5 aliran.

5. Kaum Najariyah -3 aliran.

6. Kaum Jabariah - 1 aliran.

7. Kaum Musyabbihah - 1 aliran.

_______

Jumlah 72 aliran

Kalau ditambah dengan 1 aliran lagi dengan fahaman Kaum Ahlussunah Wal Jama’ahmaka cukuplah 73 firqah, sebagai yang diterangkan Nabi Muhammad SAW. Dalam hadits yang diriwayatkan Imam Tirmidzi.

Demikian Kitab Bugyatul Murtarsyidin.

Adapun Kaum Qadariyah termasuk dalam golongan kaum Mu’tazilah,Kaum Bahaiyah dan Ahmadyah Qad-yan termasuk dalam golongan Kaum Syi’ah, Kaum Ibnu Taimiyah termasuk dalam golongan Kaum Musyabbihah dan Kaum Wahabi termasuk Kaum perlaksanaan dari fahaman IbnuTaimiyah.

Rujukan :

- I'tiqad Ahlussunnah wal jama'ah oleh Kiyai HajiSirajuddin Abbas.

- Kitab Bugyatul Mustarsyidin, karangan MuftiSyaikh Sayid Abdurrahman bin Muhammad bin Husein bin Umar, yang dimasyhurkandengan gelar Ba’Alawi, pada mukasurat 398, cetakan Mathba’ah Amin Abdul MajidCairo (138 H.)

Semoga bermanfaat.

c/p from TeamHijrah Johor...