Saturday 5 October 2013

Bermusafir tanpa mahram. Boleh ke?





InsyaAllah, kali ni nak buat satu perkongsian, satu perkara yang ramai wanita tak tahu iaitu isu BERMUSAFIR TANPA MAHRAM.



Kalau dilihat pada hari ni, ramai wanita yang bermusafir tanpa ditemani mahramnya. Pergi ke luar negara, luar negeri, berjalan-jalan tanpa ditemani mahram. Boleh ke tak? Dah banyak kali soalan ini ditujukan kepada asatizah. Banyak hadith nabi menyebutkan perkara ni.

Sabda Rasulullah S.A.W : Jangan seorang wanita bermusafir melainkan bersama dengan mahram. Dan jangan bersendirian seorang lelaki dengan seorang wanita melainkan bersama wanita itu mahramnya.” Tiba-tiba seorang lelaki bertanya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku akan keluar untuk berperang, dan isteri-ku pula hendak pergi menunaikan haji.” Lalu Rasulullah S.A.W. menjawab: “Pergilah kamu bersama isteri-mu (menunaikan haji).” 
[Muttafaq ‘Alaih, iaitu hadith yang dipersetujui bersama oleh al-Imam al-Bukahri dan Imam Muslim]

Tidak halal bagi perempuan yang beriman dengan Allah dan hari akhirat untuk keluar tiga hari ke atas melainkan bersama-samanya bapanya atau saudara kandung lelakinya atau suaminya atau anak lelakinya atau mana-mana mahramnya. [HR Muslim]

Dari Ibnu Umar r.a. juga beliau berkata, Rasululah s.a.w. bersabda, “Seseorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat itu tidak dihalalkan bermusafir dalam satu perjalanan yang keadaan jauhnya 3 hari dan lebih jauh lagi kecuali ada bersamanya bapanya atau anaknya atau suaminya atau saudara lelakinya atau lelaki yang diharamkan berkahwin daripadanya.”

[HR Jama‘ah kecuali Imam al-Bukhari]

Jadi, adakah ia dilarang? Haram?

Prof Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata, asal hukum ialah janganlah wanita melakukan musafir tanpa mahram. Tapi jika sukar mendapatkan mahram yang mampu menemani, para fuqaha' terbahagi kepada 4 kelompok:

1. Berpegang pada zahir hadis. Haram, samada untuk perjalanan haji atau perjalanan apa seka
lipun.

2. Mengkhususkan nas (dalil) yang brsifat umum. Kelompok ini mengecualikan perempuan tua yang tiada syahwat lagi.

3. Kelompok yang mengecualikan wanita yang bermusafir bersama wanita-wanita yang dapat dipercayai. Bahkan ada yang kata, jika ada teman seorang wanitapun sudah memadai.


4.Kelompok yang berkata wanita boleh musafir jika jalan yang ditempuhi aman dan tidak bahaya. Ini pendapat Ibnu Taimiyah.

HARAM

Ini ada beberapa fatwa ulama' yang di bawakan oleh Tuan Guru Syeikh Nuruddin, tentang HARAM wanita bermusafir tanpa mahram.

Antara fatwa-fatwa ‘ulama’ muktabar yang dibincangkan oleh Shaykh Nuruddin al-Banjari al-Makki:

1. Sheikh al-Islam Abdullah al-Syarqawi berkata di dalam kitabnya حاشية الشرقاوي jilid 1 halaman 519, “Adapun seseorang wanita bermusafir kerana bukan mengerjakan haji fardhu seperti haji sunat, atau mengerjakan mura, maka pekerjaan itu diharamkan, sekalipun beliau bermusafir bersama-sama wanita-wanita lain semata-mata, sekalipun perjalanan permusafiran itu dalam jarak yang dekat, dan sekalipun diizinkan oleh suaminya. Seseorang wanita tidak diharuskan keluar bermusafir melewati batasan sempadan bandar tempat tinggalnya, sekalipun perjalanannya itu bersama dengan wanita-wanita yang dipercayai, atau dengan keizinan suaminya. Suaminya atau mahramnya atau hambanya (dengan beberapa syarat bermusafir bersama-sama dengan wanita itu. Apa yang berlaku sekarang ini, seseorang wanita keluar bermusafir menziarahi maqam-maqam yang terletak di luar batasan sempadan bandar tempat tinggalnya. Perbuatan itu dianggap sebagai maksiat dan wanita itu wajib ditegah daripada meneruskan perbuatannya itu.”

Tambahan: Menurut penerangan Shaykh Nuruddin, terdapat beberapa pendapat tentang kewajiban wanita menunaikan haji sekalipun tanpa mahramnya. Pertama, suatu kelompok ‘ulama’ menganggap, wanita yang tidak mempunyai mahram tidak mempunyai kemampuan sebagaimana yang diterangkan di dalam (Surah Ali ‘Imran: 97) Manakala sekelompok ‘ulama’ lagi mengharuskan wanita menunaikan haji tanpa mahram dengan hanya bersama sekelompok wanita yang dipercayai atau seorang hamba yang dipercayai. Dalam pentarjihan beliau, beliau cenderung memilih pendapat kelompok ‘ulama’ yang pertama.

2. Al-Qadhi Iyadh berkata, “Para ‘ulama’ bersepakat mengatakan seseorang wanita tidak dibolehkan keluar bermusafir kerana mengerjakan pekerjaan selain daripada pekerjaan haji dan mura kecuali ada bersamanya mahramnya. Seseorang wanita itu boleh keluar bermusafir jira berhijrah dari negara kafir.” (Lihat شرح النووى kepada صحيح الإمام مسلم jilid 5 halaman 104).

3. Di dalam kitab القرى halaman 70, “Semua ‘ulama’ tidak bercanggah pendapat mengenai seseorang wanita tidak dibolehkan keluar rumah bermusafir selain daripada mengerjakan pekerjaan fardhu kecuali ada bersamanya mahramnya. Tetapi, sekiranya seorang wanita kafir masuk Islam di negara kafir, wanita itu boleh keluar rumah bermusafir dari negaranya.”

4. Al-‘Allamah al-Zaqarni berkata, “Tempat perselisihan para ‘ulama’ seperti disebutkan hádala pada masalah mengerjakan haji fardhu. Sekiranya seseorang wanita itu hendak mengerjakan haji sunat, maka beliau tidak dibolehkan keluar rumah bermusafir kecuali ada bersamanya mahramnya atau suaminya. Beginilah penyelesaian mengenai masalah ini dan masalah wanita bermusafir untuk mengerjakan pekerjaan yang diharuskan sebagaimana yang dimaksudkan oleh hadith-hadith yang melarang seseorang wanita keluar rumah tanpa ada bersamanya mahramnya.” (Kitab شرح الزرقانى kepada الموطاء)


HARUS

Namun, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor berbincang mengenai perkara ni dan hukumnya boleh menjadi HARUS dengan syarat-syarat berikut :

1. Aman perjalanan dan terjamin keselamatannya.

2. Suami atau mahram tiada atau kedua-duanya uzur atau tidak dapat bersama disebabkan oleh sebab yang diharuskan syarak.

3. Telah mendapat keizinan suami atau mahram ( jika ada ).

4. Bersama dalam kenderaan yang menghimpunkan ramai penumpang seperti kapal terbang, keretapi atau bas.

5. Bersama dengan kumpulan perempuan yang thiqah ( boleh dipercayai ) dan solihat.

6. Perjalanannya tidak menimbulkan fitnah dan keraguan.

7. Wanita tersebut dari golongan yang sudah berumur.

8. Tujuannya untuk ziarah mengeratkan silaturrahim, terutama yang ada hubungan nasab ( keturunan ) atau ziarah orang sakit atau memenuhi jemputan.

9. Perjalanannya ada mempunyai matlamat tertentu yang diharuskan oleh syarak, bukan untuk semata-mata melancong, berkelah atau dalam bentuk suka-suka sahaja.

10. Mempunyai perbelanjaan cukup untuk menunaikan ziarah iaitu pergi dan balik, juga mempunyai perbelanjaan yang cukup untuk nafkah dan keperluann hidup selepas kembali dari ziarah tersebut.

11. Kesihatan yang baik, tidak menghidap penyakit kronik yang boleh menyusahkan dirinya dan orang lain bersamanya.

12. Dengan perhiasan yang sederhana.

13. Wanita yang hendak pergi itu mestilah dari golongan zat hishmah ( jati diri dan berakhlak mulia ).

14. Bukan dalam 'iddah kematian suami.

15. Undang-undang membenarkannya.

Kesimpulannya, sebaik-baiknya, wanita hendaklah bermusafir bersama mahram.
Jika susah nak dapatkan mahram, maka bolehlah mengambil kelonggaran dalam pandangan ini seperti yang telah dibincangkan ulama'.

Wallahu'alam.