Saturday 30 March 2013

WANITA SOLEHAH

Assalamualaikum :D

WANITA SOLEHAH



Wanita solehah. Siapakah mereka? Ada tak ciri-ciri tersebut dalam diri kamu?

1- Wanita solehah, dirinya susah nak dikenali malah ada yang tak dikenali.

2- Wanita solehah susah dicari kerana dia tidak menonjolkan diri.

3- Wanita solehah auratnya dan kehormatan dirinya terpelihara kerana dia tahu diri dia hanyalah untuk suaminya.

4- Wanita solehah jalannya diam, tak berbunyi. Datang dan pergi seperti angin yang bertiup.

5- Wanita solehah akhlaknya mulia, kerana dia sentiasa mendahulukan agamanya.

6- Wanita solehah ibarat permata di celah-celah kaca. Hanya orang-orang tertentu yang dapat memetiknya.

7- Malunya berbalut takwa, sejuknya menenteramkan jiwa, terbingkai pada dirinya seorang solehah

8- Sebelum dirinya berjumpa yang selayaknya, cintanya hanyalah untuk Yang Maha Esa. Itulah wanita solehah.

9- Wanita solehah sentiasa menjaga setiap tutur kata, setiap perbuatannya kerana dia tahu, wanita itu fitnah dunia.

10- Wanita solehah, penemannya Allah, tempat luahannya Allah, buah hatinya Allah, segala-galanya ada Allah dalam dirinya.

11- Wanita solehah tak semestinya yang berniqab / berpurdah. Kerana keimanan seseorang bukan dinilai dari pemakaiannya.

12- Wanita solehah dirinya tidak menjadi rebutan para lelaki biasa. Kerana dirinya hanya untuk lelaki yang luar biasa.

13- Dirinya seperti pokok semalu. Bila dengan ajnabi dirinya akan menguncup malu. Durinya sebagai pertahanan. Itulah wanita solehah.

14- Jalannya tunduk, jalannya tak mendahului lelaki ajnabi, kakinya tak dihentak dengan kuat bila berjalan. Itulah cara wanita solehah berjalan.

15- Wanita solehah tak banyak mengeluh, tak banyak bicara.

16- Wanita, kau digelar penyeri dunia. Jadilah kamu penyeri pada suamimu, bukannya penyeri kepada lelaki selain suamimu.

17- Wanita solehah tak akan mengaku dirinya solehah.

18- Ingatlah wanita, kelembutan fizikalmu bukan tandanya itu kelemahanmu. Bukan juga penghinaan dari Tuhan, tapi ia sebagai hiasan kecantikanmu.

19- Wanita hiasan dunia. Dan seindah hiasan itu adalah WANITA SOLEHAH.

20- Isteri yang solehah? Isteri solehah ibarat tongkat bagi si buta. Yang melengkapkan hidup suaminya.

p/s : Berdoalah dari sekarang supaya diri kita ini dapat pasangan seorang wanita solehah. Yang dapat menjadi peneman kita di dunia dan di syurga.

Friday 29 March 2013

Kawin Muda



Topik kawin awal/kawin muda memang sangat digemari para remaja. Kawin muda sangat bagus. Kerana ianya dapat mengelakkan daripada berlakunya maksiat. Namun, orang sekarang, bila kita cakap nak kawin muda, semua perli, semua pandang pelik. Yang berjalan-jalan, berdua-duaan pimpin tangan tanpa hubungan yang halal, tak pulak diorang pandang pelik. Itulah manusia akhir zaman. Ingat pesan Rasulullah pada ibu bapa. Ibu bapa kena didik anak-anaknya dengan ajran Islam, ajarkan al-quran, beri nama yang baik pada anak dan kawinkan anak mereka. Itulah peranan ibu bapa. Haram bagi ibu bapa, yang jika anaknya nak kawin, ibu bapanya berkata,"kau nak kahwin? Nak bagi makan pasir kat anak orang?".

Jadi, apa-apa pun, semuanya bergantung pada restu ibu bapa. Apa yang kita boleh buat adalah banyakkan berdoa, serahkan segalanya pada Allah, tunjukkan akhlak yang baik dan mendalami agama sedalam-dalamnya.

“Tiga perkara yang jangan dilambat-lambatkan, iaitu solat apabila telah masuk waktunya, jenazah apabila telah siap (urusan mandi dan kafan) dan anak gadis setelah ditemui (pasangan) yang sesuai untuknya.” – (H.R. Tirmidzi)

"Siapa yg berkahwin niat kerna ingin menjaga nafsunya maka rezekinya Allah yg jamin. Jgn pertikai jika ada org kahwin muda” - Sheikh Nazrul

Wednesday 20 March 2013

Muhammad Uwais Ukasyah :D

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...



Ada orang bertanya pada aku. Kenapa aku pakai nama M. Uwais Ukasyah kat twitter? Siapa dia tu? Sebenarnya, insan tu tak wujud pun atas dunia ni. Tapi insyaAllah akan ada 3 4 tahun lagi. Faham-faham la ye :D.

Uwais Ukasyah, gabungan dua nama sahabat, Uwais dan Ukasyah, dua pemuda yang dijanjikan syurga untuk mereka. Pernahkah kamu dengar pasal dua orang pemuda ni? Meh nak citer pasal dua orang sahabat yang hebat ni.

UKASYAH..

Pada saat sudah dekat ajal Rasulullah S.A.W., beliau menyuruh Bilah bin Rabah azan untuk mengerjakan solat, lalu berkumpullah para Muhajirin dan Ansar di masjid Rasulullah S.A.W. kemudian Rasulullah menunaikan solat 2 rakaat bersama semua yang hadir.

Setelah selesai mengerjakan solat beliau bangun dan naik ke atas mimbar dan berkata:

"Alhamdulillah, wahai para muslimin, sesungguhnya saya adalah seorang Nabi yang diutus dan mengajak orang kepada jalan Allah dengan izin Nya, dan saya ini adalah sebagai saudara kandung kamu, yang kasih sayang pada kamu semua seperti seorang ayah. Oleh itu kalau sesiapa mempunyai hak untuk dituntut, maka hendaklah dia bangun dan memberitahu saya sebelum saya dituntut di hari kiamat."

Rasulullah berkata sebanyak tiga kali kemudian bangun seorang lelaki yang bernama 'Ukasyah Bin Muhshan' dan berkata:" Demi ayah dan ibuku Ya Rasulullah S.A.W., kalau anda mengumumkan kepada kami berkali- kali sudah tentu saya tidak mahu mengemukakan hal ini." Lalu 'Ukasyah berkata lagi: "Sesungguhnya dalam perang Badar, saya bersamamu Ya Rasulullah, pada masa itu saya mengikuti unta anda dari belakang, setelah dekat saya pun turun menghampiri anda dengan tujuan supaya dapat mencium peha anda, tetapi anda telah mengambil tongkat dan memukul unta anda supaya berjalan cepat, yang mana pada masa itu anda terpukul pada tulang rusuk saya. Oleh itu saya hendak tahu sama ada anda sengaja atau cuma hendak memukul unta tersebut."

Rasulullah S.A.W. berkata:" Wahai Ukasyah, Rasulullah sengaja memukul kamu."

Kemudian Rasulullah S.A.W. berkata kepada Bilal r.a.: "Wahai Bilal, kamu pergi ke rumah Fatimah dan ambilkan tongkat aku ke mari."

Bilal keluar dari masjid menuju ke rumah Fatimah sambil meletakkan tangannya di atas kepala dengan berkata:"Rasulullah telah menyediakan dirinya untuk di balas (qishash)."

Setelah Bilal sampai di rumah Fatimah maka Bilal pun memberi salam dan mengetuk pintu. Kemudian Fatimah r.a menyahut dengan berkata:" Siapakah di pintu?"

Lalu Bilal berkata:"Saya Bilal, saya diperintahkan oleh Rasulullah S.A.W. untuk mengambil tongkatnya."

Kemudian Fatimah berkata:" Wahai Bilal, untuk apa ayahku meminta tongkatnya?"

Bilal berkata:"Wahai Fatimah, Rasulullah S.A.W. telah menyediakan dirinya untuk di qishash." Fatimah bertanya lagi:"Wahai Bilal, siapakah manusia yang sampai hatinya untuk mengqishash Rasulullah S.A.W.?"

Bilal tidak menjawab pertanyaan Fatimah r.a., sebaik sahaja Fatimah r.a memberikan tongkat tersebut maka Bilal pun membawa nya kepada Rasulullah S.A.W.

Setelah Rasulullah S.A.W. menerima tongkat tersebut dari Bilal maka beliau pun menyerahkan kepada 'Ukasyah'. Melihat hal yang demikian maka Abu Bakar r.a. dan Umar r.a tampil ke hadapan sambil berkata:"Wahai 'Ukasyah, janganlah kamu qishash baginda Rasulullah S.A.W., tetapi kamu qishashlah kami berdua."

Apabila Rasulullah S.A.W. mendengar kata-kata Abu Bakar dan Umar maka dengan segera baginda berkata:"Wahai Abu Bakar dan Umar, duduk lah kamu sesungguhnya Allah S.W.T. telah menetapkan tempat untuk kamu berdua."

Kemudian Ali r.a. bangun lalu berkata:"Wahai 'Ukasyah! aku adalah orang yang sentiasa berada disamping Rasulullah S.A.W. oleh itu kamu pukul lah aku dan janganlah kamu mengqishash Rasulullah S.A.W."

Lalu Rasulullah S.A.W. berkata:" Wahai Ali, duduklah kamu, sesungguhnya Allah S.W.T. telah menetapkan tempatmu dan mengetahui isi hati mu."

Setelah itu Hasan dan Husin bangun dan berkata:"Wahai 'Ukasyah, bukankah kamu tidak tahu bahawa kami ini adalah cucu Rasulullah S.A.W., kalau kamu mengqishash kami sama dengan kamu mengqishash Rasulullah S.A.W."

Mendengar kata-kata cucunya Rasulullah S.A.W. pun berkata: "Wahai buah hatiku, duduklah kamu berdua."

Rasulullah S.A.W. berkata:" Wahai 'Ukasyah, pukul lah saya kalau kamu hendak memukul."

Kemudian 'Ukasyah berkata:" Ya Rasulullah S.A.W. anda telah memukul saya sewaktu saya tidak memakai baju."

Maka Rasulullah S.A.W. pun membuka baju, sebaik sahaja
Rasulullah S.A.W. membuka baju maka menangislah semua yang hadir.

Sebaik sahaja 'Ukasyah melihat tubuh badan Rasulullah S.A.W. maka dia pun mencium beliau dan berkata: "Saya tebus anda dengan jiwa saya, ya Rasulullah S.A.W. Siapakah yang sanggup memukul anda. Saya melakukan begini adalah sebab saya hendak menyentuh badan anda yang dimuliakan oleh Allah S.W.T. dengan badan saya dan Allah S.W.T menjaga saya dari neraka dengan kehormatanmu."

Kemudian Rasulullah S.A.W. berkata:"Dengarlah kamu sekelian, sekiranya kamu hendak melihat ahli syurga, inilah orangnya."

Kemudian semua para jemaah bersalaman atas kegembiraan mereka terhadap peristiwa yang sangat genting itu. Setelah itu para jemaah berkata:" Wahai 'Ukasyah, inilah keuntungan yang paling besar bagimu, engkau telah memperolehi darjat yang tinggi dan bertemankan Rasulullah S.A.W. di dalam syurga."

UWAIS...


Uwais hanyalah seorang pengembala kambing biasa. Sekali pandang, tiada apa yang istimewa tentang pemuda ini. Namun, dia mencatat sejarah hebat di kalangan manusia. Malah, baktinya yang tersembunyi mengangkat dirinya ke martabat yang amat tinggi. Sehingga Rasulullah SAW sendiri mengiktiraf bahawa memang benar Uwais Al-Qarni adalah penghuni langit, bukan manusia di bumi!

Ketika zaman Nabi Muhammad SAW, Uwais Al-Qarni tinggal di negeri Yaman. Hidupnya sangat fakir dan dalam keadaan yatim. Dia cuma tinggal bersama seorang ibu yang sudah tua dan lumpuh.

Malahan, ibu tua itu telah buta dan hanya bergantung harap pada Uwais untuk menguruskan kehidupannya. Di situlah mereka dua beranak meneruskan kehidupan tanpa ada sanak saudara. Walaupun miskin, Uwais kaya dengan budi bahasa dan amanah.

Justeru, dia menjadi kepercayaan orang untuk menjaga ternakan mereka pada waktu siang. Upah yang diterima hanya cukup untuk menampung makan pakai mereka sehari-hari. Jika ada terlebih, Uwais akan membantu tetangganya yang hidup miskin dan serba kekurangan seperti dirinya.

Selain itu, Uwais terkenal sebagai seorang anak yang taat kepada ibunya dan juga taat beribadah. Dia seringkali berpuasa dan malam hari masanya terisi dengan ibadah solat-solat sunat dan tahajud kepada Allah. Tatkala ibunya memerlukan bantuan, Uwais tidak pernah mengeluh dan akan menguruskan ibunya terlebih dahulu sebelum membuat perkara lain.

Sebenarnya, Uwais ada menyimpan satu keinginan. Dia ingin sekali berjumpa sendiri dengan Rasulullah SAW. Malah, hatinya merasa sedih setiap kali mendengar cerita jirannya yang dapat bertemu dengan Rasulullah SAW. Apakan daya, dia tidak boleh meninggalkan ibunya yang uzur dan Uwais redha dengan keadaan itu. Kecintaannya kepada Rasulullah juga bukan calang-calang.

Ketika mendengar Rasulullah SAW tercedera dan gigi Baginda patah di dalam perang Uhud, Uwais lantas mengetuk giginya dengan batu sehingga patah. Ini sebagai ungkapan cintanya kepada Nabi Muhammad SAW sekalipun dia tidak pernah bertemu dengan Baginda. Kerinduan dan kecintaan kepada Nabi SAW menyebabkan dia bertanya sendiri, bilakah dia akan bersua muka dengan kekasih Allah yang agung itu.

Tetapi seketika kemudian, Uwais kembali sedar bukankah tanggungjawab utamanya adalah berbakti kepada ibunya yang sudah uzur. Mana mungkin dia tegar meninggalkan wanita itu keseorangan. Lagipun, ibu itu amat dikasihi dan dijaga bagai menatang minyak yang penuh saban hari.

Sekian waktu berlalu, kerinduan kepada Nabi SAW yang selama ini dipendamnya tak dapat ditahannya lagi. Pada suatu hari ia datang mendekati ibunya, memberitahu keinginannya dan memohon izin serta restu agar dapat pergi menemui Rasulullah SAW di Madinah.

Ibunya merasa terharu mendengar permintaan Uwais dan berkata, “Pergilah wahai Uwais, Temuilah Nabi di rumahnya. Kelak, selesai berjumpa dengan Baginda, segeralah engkau pulang ke pangkuanku.”

Izin itu diterima Uwais dengan gembira. Segera dia berkemas untuk berangkat. Dia menyiapkan segala keperluan ibunya dan berpesan kepada jiran agar menemani ibunya selama dia pergi. Sesudah bersalaman dan mencium ibunya, Uwais pun berangkat ke Madinah.

Setelah melalui perjalanan yang jauh, akhirnya Uwais sampai di kota Madinah. Dia terus menuju ke rumah Rasulullah SAW dan mengetuknya. Salamnya dijawab seorang wanita. Itulah Siti Aisyah r.a. Dikhabarkan Rasulullah tidak ada di rumah kerana sedang berada di medan pertempuran. Kecewalah Uwais. Dari jauh dia datang namun Nabi tidak dapat ditemuinya.

Kerana teringatkan ibunya yang sudah tua, hati Uwais serba salah. Perlukah dia menunggu Rasulullah? Di telinganya terngiang-ngiang kata-kata ibunya yang menyuruh dia lekas pulang. Apa khabar ibunya kini. Akhirnya kerana ketaatan kepada ibunya, Uwais berangkat pulang dengan segera.

Kepada Aisyah, dititipkan pesanan dan salam untuk Rasulullah. Tidak lama kemudian, Rasululullah SAW pulang dari medan peperangan. Kedatangan Uwais disampaikan oleh Aisyah.

“Itulah Uwais Al-Qarni, anak yang taat pada ibunya. Dialah penghuni langit,” ujar Baginda SAW. Siti Aisyah dan sahabat tertegun. Nabi berkata lagi: “Kalau kalian ingin berjumpa dengan dia, perhatikanlah dia mempunyai tanda putih di tengah telapak tangannya.”

Sesudah itu Nabi SAW memandang kepada Ali ra dan Umar ra seraya berkata: “Suatu ketika apabila kalian bertemu dengan dia, mintalah doa dan istighfarnya, dia adalah penghuni langit, bukan orang bumi.”

Waktu terus berganti, dan Nabi SAW kemudian wafat. Kekhalifahan Abu Bakar pun telah digantikan pula oleh Umar bin Khatab. Suatu ketika, khalifah Umar teringat akan sabda Nabi SAW mengenai Uwais Al-Qarni, penghuni langit. Beliau segera mengingatkan kembali sabda Nabi SAW itu kepada sahabat Ali bin Abi Thalib ra.

Sejak saat itu setiap ada kafilah yang datang dari Yaman, Khalifah Umar ra dan Ali ra selalu menanyakan mengenai Uwais Al Qarni, si fakir yang tak punya apa-apa itu, yang kerjanya hanya menggembalakan kambing dan unta setiap hari. Mengapa khalifah Umar ra dan sahabat Nabi, Ali r.a, selalu menanyakan dia?

Rombongan kafilah dari Yaman menuju Syam silih berganti, membawa barang dagangan mereka. Suatu ketika, Uwais Al-Qarni turut bersama mereka. Rombongan kafilah itu pun tiba di kota Madinah. Melihat ada rombongan kafilah yang baru datang dari Yaman, segera Khalifah Umar ra dan Ali ra mendatangi mereka dan menanyakan apakah Uwais Al-Qarni turut bersama mereka.

Rombongan kafilah itu mengatakan bahawa Uwais Al-Qarni ada bersama mereka, dia sedang menjaga unta-unta mereka di perbatasan kota. Mendengar jawaban itu, khalifah Umar ra dan Ali ra segera pergi menjumpai Uwais Al-Qarni. Sesampainya di khemah tempat Uwais berada, Khalifah Umar ra dan Ali ra memberi salam. Tetapi ketika itu Uwais sedang solat.

Selesai solat, Uwais menjawab salam Khalifah Umar ra dan Ali ra sambil mendekati kedua sahabat Nabi SAW ini dan menghulurkan tangannya untuk bersalaman. Sewaktu berjabat, Khalifah Umar ra dengan segera membalikkan tangan Uwais, untuk membuktikan kebenaran tanda putih yang berada di telapak tangan Uwais, seperti yang pernah dikatakan oleh Nabi SAW.

Memang benar! Kelihatan tanda putih di telapak tangan Uwais Al-Qarni. Wajah Uwais Al-Qarni tampak bercahaya. Benarlah seperti sabda Nabi SAW bahawa dia itu adalah penghuni langit. Khalifah Umar ra dan Ali ra menanyakan namanya, dan dijawab, “Abdullah.” Mendengar jawapan Uwais, mereka tertawa dan mengatakan, “Kami juga Abdullah, yakni hamba Allah. Tapi siapakah namamu yang sebenarnya? Uwais kemudian berkata: “Nama saya Wajah Uwais Al-Qarni”.

Dalam perbualan mereka, dinyatakan ibu Uwais Al-Qarni telah meninggal dunia. Itulah sebabnya, ia baru dapat turut bersama rombongan kafilah dagang saat itu. Akhirnya, Khalifah Umar dan Ali ra memohon agar Uwais membacakan doa dan istighfar untuk mereka. Uwais enggan dan dia berkata kepada Khalifah, “Sayalah yang harus meminta doa pada kalian.”

Mendengar perkataan Uwais, khalifah berkata, “Kami datang ke sini untuk mohon doa dan istighfar dari anda.” Kerana desakan kedua sahabat ini, Uwais Al-Qarni akhirnya mengangkat tangan, berdoa dan membacakan istighfar. Setelah itu Khalifah Umar ra berjanji untuk menyumbangkan wang negara dari 
Baitul Mal kepada Uwais untuk jaminan hidupnya.

Segera sahaja Uwais marah dengan berkata, “Hamba mohon supaya hari ini saja hamba diketahui orang. Untuk hari-hari selanjutnya, biarlah hamba yang fakir ini tidak diketahui orang lagi.”

Beberapa tahun kemudian, Uwais Al-Qarni pun meninggal dunia. Anehnya, pada saat dia akan dimandikan, tiba-tiba sudah banyak orang yang berebut-rebut untuk memandikannya. Dan ketika dibawa ke tempat pembaringan untuk dikafani, di sana pun sudah ada orang-orang yang menunggu untuk mengkafannya.

Demikian pula ketika orang pergi hendak menggali kuburannya, di sana ternyata sudah ada orang-orang yang menggali kuburnya hingga selesai. Ketika usungan dibawa menuju ke perkuburan, orang berebut-rebut
mengangkat jenazah dan mengiringinya.

Meninggalnya Uwais Al-Qarni telah menggemparkan masyarakat kota Yaman. Banyak terjadi peristiwa yang menghairankan. Ramai orang yang tidak dikenali datang untuk menguruskan jenazahnya sehingga ke liang lahad sedangkan selama ini Uwais hanyalah seorang fakir yang tidak dihiraukan orang.

Bermula saat dia dimandikan sampai ketika jenazahnya hendak diturunkan ke dalam kubur, di situ selalu ada orang-orang yang telah siap melaksanakannya terlebih dahulu. Penduduk kota Yaman tercengang. Mereka saling bertanya-tanya, “Siapakah sebenarnya engkau wahai Uwais Al-Qarni?

Bukankah Uwais yang kita kenal, hanyalah seorang fakir, yang tak memiliki apa-apa, yang kerjanya sehari-hari hanyalah sebagai penggembala kambing dan unta? Tapi, ketika hari wafatmu, engkau menggemparkan penduduk Yaman dengan hadirnya manusia-manusia asing yang tidak pernah kami kenal.

Mereka datang dalam jumlah yang begitu ramai. Mungkin mereka adalah para malaikat yang diturunkan ke bumi, hanya untuk mengurus jenazah dan pemakamanmu.”

Berita meninggalnya Uwais Al-Qarni dan peristiwa-peristiwa ajaib yang berlaku ketika hari beliau wafat telah tersebar ke serata tanah Yaman. Baru hari itu mereka sedar siapa sebenarnya Uwais Al-Qarni.

Di hari wafatnya, mereka mengakui bahawa memang benar sebagaimana yang telah disabdakan oleh Nabi SAW, sesungguhnya Uwais Al-Qarni adalah penghuni langit.

p/s : Semoga bakal pemilik nama Muhammad Uwais Ukasyah dapat menjadi seperti pemilik asal namanya, iaitu Uwais al Qarni dan Ukasyah, insyaAllah. :')

Tuesday 19 March 2013

Kahwin Awal



SOAL HATI REMAJA - PATUTKAH BERKAHWIN AWAL


Rasulullah s.a.w bersabda: Tiga perkara yang jangan dilambat-lambatkan, iaitu solat apabila telah masuk waktunya, jenazah apabila telah siap (urusan mandi dan kafan) dan anak gadis setelah ditemui (pasangan) yang sesuai untuknya. (H.R. Tirmidzi)

Kahwin awal bukan satu masalah. Mari lihat persoalan-persoalan yang selalu menerjah di kepala anak-anak muda yang fitrahnya terhalang atas sebab-sebab tertentu.

1. Kahwin waktu masih belajar, adakah tidak mengganggu pelajaran?

Siapa cakap kahwin waktu sedang belajar mengganggu? Salah tanggapan tu. Sepatutnya, kahwin awal lebih memberi kita semangat yang membara. Yelah, sudah ada pasangan yang halal dan akan sentiasa menyokong kita, mesti la lagi bersemangat mau belajar kan? Lagi satu, orang yang sudah kahwin ni akan berasa lebih bertanggungjawab dari sebelum kahwin. Sebab mereka tahu bahawa mereka punya pasangan untuk dijaga, jadi mereka pun akan berusaha untuk buat yang terbaik bagi pasangan mereka. Apa-apa pun, tengok ibu bapa kita saja sebagai contoh. Sudah kahwin, tapi adakah mengganggu kerja mereka? Tidak kan?

2. Saya masih belajar, macam mana mahu bagi nafkah pada isteri kalau belum ada kerja?

Saya tahu ramai antara kita yang masih belajar, dan ramai yang meminjam dapat elaun biasiswa. Saya beranggapan pasangan yang ingin dikahwini jugak masih study Jadi ia bermakna dua-dua masih dapat hidup dengan wang yang asas tu. Jadi, sementara masih belum ada kerja, suami berilah nafkah yang termampu kepada isteri. Mungkin $25 atau $50 sebulan? Bergantung kepada berapa banyak isteri gunakan untuk makan. Lagipun, isteri jugak ada wang, jadi tak perlu rasa ada masalah di situ. Yang penting dua-dua masih dapat hidup. Lain la kalau isteri demand kereta, rumah, rantai emas, baju berlambak-lambak, dan macam-macam lagi. Jadi, sepatutnya tiada masalah dalam bab nafkah. Cuba kita tengok orang Arab zaman Nabi dulu. Adakah kebanyakan daripada mereka orang berharta? Tidak. Mereka cuma mampu memberi isteri makan makanan setakat yang mereka mampu beri. Itu pun sudah mencukupi untuk dijadikan nafkah. Nabi tak larang pun orang miskin berkahwin. Jangan jadikan kekurangan wang sebagai penghalang perkahwinan. Itu namanya menyalahkan takdir Allah. Berdosa.

Firman Allah: Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui. (An-Nur:32)

3. Macam mana mahu cari modal untuk majlis perkahwinan?

Apa perkara asas dalam kahwin? Ya, akad nikah dan walimatul urus. Merisik dan bertunang tu bukan wajib pun. Jadi, potong kos seperti bagi hantaran waktu merisik dan bertunang, sudah jimat wang. Waktu akad nikah pun, jemputlah keluarga terdekat dengan kawan-kawan saja yang dapat datang. Berdosa bila tidak menghadiri jemputan walimatul urus. Jadi, jimat sikit kos kenduri. Buang wang saja sewa pelamin, sewa baju pengantin, sewa jurukamera dengan mak andam semua tu kerana ia termasuk dalam hal-hal yang sia-sia. Mas kahwin pun tidak perlu tinggi-tinggi kerana sebaik-baik magar adalah yang paling rendah. Mudah saja majlis perkahwinan dalam agama Islam. Tidak sampai puluh ribu pun.

Sabda Rasulullah s.a.w: Tiga golongan yang akan selalu diberi pertolongan oleh Allah ialah seorang mujahid yang selalu memperjuangkan agama Allah s.w.t, seorang penulis yang selalu memberi penawar dan seorang yang menikah demi menjaga kehormatan dirinya. (H.R. Thabrani)

4. Tidak terlalu awalkah untuk saya berkahwin?

Kalau rasa dengan kahwin boleh buat semangat untuk belajar semakin meningkat, kahwin la. Kalau rasa kahwin boleh buat diri semakin bersemangat dalam agama, kahwin la. Kalau rasa kahwin boleh elak daripada fitnah dan maksiat, kahwin la. Itu maksudnya, kahwin memang perlu di usia muda. Benda yang baik, jangan dilambatkan. Takut kelak bertukar menjadi benda yang tidak baik. Cuba bayangkan anda ada pasangan yang disukai. Kan bagus kita cepatkan benda yang baik dengan berkahwin terus. Tapi kalau kita melambatkan perkahwinan yang bagus itu, mungkin kita akan terjerumus ke lembaah maksiat. Kenapa kita boleh beralasan untuk melakukan perkara yang halal, tetapi tidak langsung mengemukakan alasan untuk melakukan perkara yang haram? Tanya diri, jagalah iman.

Sabda Rasulullah s.a.w: Apabila datang kepadamu seorang laki-laki untuk meminang, yang engkau redha terhadap agama dan akhlaknya, maka nikahkanlah dia. Bila tidak engkau lakukan maka akan terjadi fitnah di muka bumi dan akan timbul kerosakan yang merata di muka bumi. (H.R. Tirmidzi dan Ahmad)

5. Bersediakah saya untuk kahwin awal?

Ini soalan paling bagus ditanya kepada diri sendiri. Tanya dulu soalan asas ni. Sudahkah saya solat penuh 5 kali sehari semalam? Bertanggungjawab sudahkah saya? Adakah saya panas baran atau penyabar? Adakah saya seorang yang bercakap menggunakan akal atau bertindak menggunakan akal di lutut? Pendek kata, ada banyak soalan spesifik yang boleh ditanya kepada diri sendiri. Walau apa pun jawapan dia, ini nasihat saya. Sentiasalah perbaiki diri dan mantapkan diri. Orang yang sudah berkahwin dan sedang belajar solat lebih baik berbanding orang yang sudah kahwin dan pandai solat tapi tidak amalkannya lepas kahwin. Orang yang bersedia mengubah dirinya adalah yang paling bersedia sebenarnya.

6. Macam mana dengan restu ibu bapa?

Ya, ini la benda paling susah bila mahu kahwin awal. Faktor penghalang paling utama. Kalau kita dapat menjelaskan dengan baik kepada ibu bapa dan mereka faham, insyaAllah tiada masalah untuk berkahwin awal. Tapi kalau ibu bapa kita susah mahu terima sebab fikiran mereka masih terikat dengan fikiran tipikal masyarakat Melayu sekarang ni yang lebih terpengaruh kepada adat dan cerekarama di tv semata-mata, serta pemikiran risau akan tak cukup wang nak sara anak dara orang, sudah tentu mereka tidak akan terima setiap hujah yang diberikan seperti di atas. Apa-apa pun, saya doakan yang terbaik untuk mereka yang mahu kahwin awal supaya cepat bertemu jodoh. Ingat, bila seseorang itu berkahwin kerana ingin mengikut sunnah Rasulullah, maka terbukalah segala pintu rezeki untuknya. Lihat, betapa banyaknya kelebihan kahwin awal. Fikiran kita yang sempit saja membuatkan kahwin ni nampak terlalu susah sangat.

Umar bin al-Khattab r.a telah berkata: Kahwinlah anak-anak kamu apabila sampai baligh, janganlah kamu menanggung dosa-dosa mereka. (Disebut oleh Ibnu Jauzi dalam Ahkam An-Nisa)

Nasihat saya untuk golongan-golongan yang sedang hangat bercinta tu, sebaiknya kahwinlah awal. Lebih banyak kelebihan kahwin awal berbanding kahwin lambat. Tapi semua itu pilihan masing-masing juga. Mudah-mudahan setiap pilihan yang kita buat adalah yang terbaik dan dirahmati Allah. InsyaAllah.

Rasulullah s.a.w bersabda: Siapa yang benci dengan cara hidup (sunnah) ku maka dia tidak termasuk golonganku. (H.R. Bukhari dan Muslim)

p/s : Carilah suami / isteri untuk dijadikan kekasih. Bukannya mencari kekasih untuk dijadikan suami / isteri. 

Friday 8 March 2013

Maulid Akbar



Habibi Rasulullah S.A.W.

MasyaAllah, tabarakallah, menitis air mata aku bila menonton video ni. Betapa ramainya pencinta Rasulullah, betapa ramai yang datang ke majlis maulid akbar yang diadakan pada awal bulan februari lepas. Itulah majlis maulid pertama yang aku pergi yang dianjurkan oleh Darul Murtadza. Allahu, hanya Allah yang tahu perasaan aku bila berada di sana. Subhanallah, sangat seronok berada dalam majlis seperti ini.

Pertama kali jejakkan kaki ke Setiawangsa, pertama kali datang ke Maulid akbar anjuran Darul Murtadza, banyak perkara yang tak dapat aku lupakan. Julung kali aku ke maulid itu, kebetulan, itulah kali pertama mereka adakan satu perarakan, bergerak masuk ke dalam masjid. MasyaAllah, seronok dapat bersama dengan mereka-mereka yang berada di sana. Mula-mula aku agak kekok, sebab pertama kali sertai maulid. Tengok kiri kanan, semua berserban tinggi-tinggi, dengan jubah putihnya, masyaAllah, terasa rendah sangat diri ini. (memang rendah pun, lagi-lagi bila duk sebelah akhi Arham, hahaha).

Dan malam tu, hadirnya ramai sanga para ulama', para habaib, menceriakan lagi majlid maulid tu. Yang paling dinantikan adalah tausiah daripada al-fadhil Ustaz Don Daniyal Don Biyajid. Ustaz Don pada malam tu nampak agak gemuruh, mungkin sebab dia dikelilingi oleh para ulama', para habaib yang lebih tinggi ilmu darinya. Tausiah yang disampaikannya pun pendek je, tapi mantap. Bila tengok Habib Ali dan Ustaz Don bergurau, rasa seronok je.Tak tahu kenapa, tapi rasa seronok la, hahaha..

Alhamdulillah, walaupun aku datang seorang diri dari Kuala Terengganu naik bas, turun bas, berada di Setiawangsa, balik ke Kuala Terengganu, tiada masalah yang berlaku. Allah permudahkan segala urusan aku di sana. Yang seronok, aku dapat jumpa ahli #TeamHijrah yang lain. Mereka banyak bantu aku. Abang Mursyid, datang ambik aku kat Hentian Putra. Mirul, tolong hantar aku dari Masjid Muadz ke Hentian Putra. Dapat jumpa Abang Ashrul walaupun sekejap. Jumpa akhi Arham. Yang perempuan pun ada.

Aku bermalam di Masjid Muadz, ramai gak yang tidur kat situ. Agaknya, semua sama ngan aku. Tunggu nak naik bas esok pagi. Keesokan pagi, aku sembang ngan petugas maulid akbar tu, akhi Akmal. Dia ceritakan kat aku apa yang terjadi pada malam maulid tu. Meremang bulu roma aku dengar, bergenang air mata aku. Dia ceritakan mengenai kasyaf ahli sufi pada malam tu. Aku bersyukur sangat dapat pergi ke maulid akbar tu. Kalau siapa ada kat situ, dia akan perasan. Malam maulid tu, hujan turun dengan tiba-tiba. Saat Habib Ali nak mulakan majlis tu, kilat menyabung sebanyak dua kali. Itu apa yang aku nampak. Dan bila doa penutup dibacakan oleh habib yang datang dari Madinah, hujan turun dengan lebat, angin kuat tiba-tiba. Bila habis je doa dibacakan, hujan berhenti, angin pun reda. Itulah yang aku perasan malam tu. Patutlah Habib Ali ada cakap, "insyaAllah, rasulullah gembira dengan kita semua pada malam ini. Baginda bersama kita semua pada malam ini." . Alhamdulillah, majlis maulid akbar itu diberkati oleh Allah. Semoga Allah memberkati semua yang ada dalam majlis itu. insyaAllah.

Jika ada majlis maulid di tempat kamu, pergi lah. Walaupun ada yang menentang sambutan maulid, jangan hiraukan mereka. Siapa mereka nak halang kita dari pergi ke majlis yang semarakkan cinta kita pada nabi? Pedulikan apa mereka kata. Ada peluang, ada masa, pergilah. Ajak keluarga, sahabat-sahabat sekali. Seronok sangat, serius aku cakap ni.

InsyaAllah, Maulid Akbar akan datang, aku akan pergi lagi.


Monday 4 March 2013

Tausiyah Mengenai Wanita


Assalamualaikum :D

‎~* Tausyiah Tentang Wanita *~

“Tausyiah”,: “ Wanita perlu ta'at kepada suami."
Tapi tahukah, bahawa lelaki wajib ta'at kepada Ibunya 3 kali lebih utama daripada kepada Bapanya…

" Wanita menerima waris lebih sedikit dari pada Lelaki2."
Tapi tahukah bahawa harta itu menjadi milik pribadinya dan tidak perlu diserahkan kepada Suaminya, sementara apabila Lelaki menerima waris, Ia perlu/wajib juga menggunakan hartanya untuk Isteri dan anak-anaknya.

" Wanita perlu bersusah payah mengandung dan melahirkan anak." Tapi tahukah bahwa setiap sa'at dia dido'akan oleh segala umat, malaikat dan seluruh makhluk ALLAH di muka bumi ini dan tahukah, jika ia mati kerana melahirkan adalah Syahid dan Syurga akan menantinya…

Di akhirat kelak, seorang lelaki akan dipertanggung jawabkan terhadap 4 wanita, iaitu:
1.Isterinya,
2.Ibunya,
3.Anak Perempuannya dan
4.Saudara Perempuannya.

Ertinya: bagi seorang wanita tanggung jawab terhadapnya ditanggung oleh 4 orang lelaki. Iaitu:
1.Suaminya,
2.Ayahnya,
3.Anak Lelakinya dan
4.Saudara Lelakinya.

Seorang wanita boleh memasuki pintu syurga melalui pintu syurga yang mana saja yang disukainya, cukup dengan 4 syarat saja, iaitu : 
1.Solat 5 waktu,
2.Puasa di bulan Ramadhan,
3.Ta'at kepada Suaminya, dan
4.Menjaga Kehormatannya.

Seorang lelaki wajib berjihad fisabilillah, sementara bagi wanita jika ta'at akan suaminya serta menunaikan tanggungjawabny­a kepada ALLAH SWT, maka ia akan turut menerima pahala setara seperti pahala orang pergi berjihad fisabilillah tanpa perlu mengangkat senjata.

Sebarkan tasyiah ini kepada saudaramu muslim yg lain, semoga pahala mengalir kepadamu juga..

Wallahu'alam ^^

Saturday 2 March 2013

Pray For Sabah


Sangat tidak bijak apabila ada yang mengatakan kes di Lahad Datu adalah konspirasi parti. BN tuduh PR. PR tuduh BN. Come on la, fikir sikit perasaan isteri, anak dan keluarga para pejuang negara yang berjuang di sana apabila ada yang kata camtu. Mereka rela korbankan nyawa untuk pertahankan negara. Kita lak, duk umah goyang kaki, seronok enjoy gelak-gelak ngan kawan, keluarga, pastu tuduh macam-macam. Kerana terlalu taksub dengan sesebuah parti politik, akan ada je yang cuba mencari salah parti lawan demi kepentingan parti mereka. Allahurabbi.

Hari tu di UTM pada majlis UTM Berselawat, ada seorang peserta bertanya pada Ustaz Don, minta pandangan Ustaz Don mengenai politik sekarang. Tiba-tiba diam semua apabila ustaz menjadi tegas. Ustaz menegaskan, supaya kita semua jaga mulut, tak kira kita ni parti mana sekalipun. Jangan kerana mulut kita yang suka menuduh, memfitnah, kita dilaknat oleh Allah S.W.T.

Ayuh, sedekahkan al-fatihah buat wira-wira negara yang telah syahid di Lahad Datu. Angkat tangan, doakan untuk mereka supaya selamat dan diberi perlindungan oleh Allah S.W.T.

"Ya Allah, kau selamatkanlah para perwira negara kami yang berjuang di Lahad Datu. Berikan kekuatan kepada mereka. Istiqamahkan hati mereka untuk berjuang demi negara tercinta. Berilah perlindungan kepada negara kami, perlindungan kepada wira-wira kami. Tunjukkan pada musuh-musuh kami akan kekuatanMu Ya Allah. Hanya kepadaMu kami berserah dan hanya padaMu kami pohon pertolongan."



#PrayForLahadDatu #PrayForMalaysia

Allah sentiasa ada dengan kamu wahai pejuang negara :')